Kenyataan Naib Pengerusi Pemuda Kebangsaan MCA, Chua Hock Kuan yang mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berhubung projek MRT 3 dibidas oleh Pengerusi Biro Profesional Muda KEADILAN, Seah Jhen Pei.
Menurut Seah, Chua seolah olah tidak memahami isu yang ditimbulkan oleh Chang yang menuntut projek sambungan MRT 3 itu diteliti oleh jawatankuasa peringkat parlimen memandangkan projek MRT 1 sebelum ini tidak begitu mendapat sambutan pengguna.
“Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang membangkitkan kebimbangan mengenai tambahan jaminan pinjaman RM50 bilion yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan untuk MRT 3 ini, di samping pinjaman sedia ada sehingga RM114.9 bilion untuk DanaInfra dan Prasarana.
“Walaupun Chang membentangkan data yang diperoleh daripada Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Chua bagaimanapun menganggapnya sebagai “tindak balas yang tidak berasas, tidak profesional dan tidak masuk akal”.
“Chua harus sedar tanggungjawab penggubal undang-undang yang dipilih adalah untuk menyemak dan mengimbangi terhadap eksekutif, bagi pihak rakyat untuk memastikan kepentingan negara terpelihara. Justeru, komen Chua mengenai kenyataan Chang seolah olah memperlekeh badan perundangan,” katanya.
Tambah Seah, saranan Chang untuk perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen amat tepat kerana kosnya yang amat tinggi sehingga RM50 bilion.
Bagi beliau, dengan kos yang begitu besar projek tersebut sewajarnya dilaksanakan secara profesional dan kegagalan MRT 1 dalam jumlah penumpang tidak mencapai skala penuh seboleh bolehnya jangan diulangi.
“Justeru, dalam hal itu mengapa pula Chua menasihati Chang supaya melaporkan projek MRT 3 kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia? Sekiranya Chua mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang cara sistem demokrasi kita berfungsi, dia mungkin tidak menerbitkan kenyataan jahil itu.
“Saya mengingatkan Chua sebagai pemimpin pemuda gabungan pemerintah, beliau harus mempertahankan pemimpinnya dengan fakta dan angka. Dengan Prasarana melaporkan kerugian tahunan antara RM3 hingga 5 bilion untuk 3 tahun yang lalu, bagaimana Prasarana boleh membayar hutangnya jika perkhidmatan kereta api dan bas gagal mencapai sasaran penumpang mereka?
“Dengan pembukaan MRT 2 tahun ini, dan MRT 3 pada masa hadapan, kerugian operasi dijangka meningkat secara eksponen jika tiada penambahbaikan penumpang. Apakah dasar baharu kerajaan untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian?
“Ini adalah beberapa soalan yang mungkin seorang ketua pemuda MCA seperti Chua harus membantu untuk menjawab dan menyedarkan semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Seah tidak setuju dengan hujah Chua sekiranya MRT 3 tidak dibina waktu ini, dan dibiarkan tertangguh maka kosnya akan meningkat lebih tinggi
Katanya, hutang Prasarana telah meningkat RM12.3 bilion sejak tahun pembukaan MRT 1 pada 2017 dan lebih baik hal itu diselesaikan dahulu sebelum membuat pelaburan baharu.
Beliau sebaliknya memberi peringatan sekiranya hutang meningkat pada tahun mendatang maka tidak mustahil dana rakyat pula yang akan digunakan untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan yang gagal membayar hutang itu.