Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu mendedahkan punca kematian mahasiswa tahun keempat jurusan perakaunan S Vinosiny, 20, yang meninggal dunia didakwa akibat terkena renjatan elektrik.
Bagi mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, UUM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu lebih telus dalam memberi maklumat kepada keluarga mendiang berkenaan hal sebenar yang menimpa anak mereka.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang berhubung kematian tersebut. Semoga mereka diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian yang besar ini. Saya juga ingin melahirkan simpati dan turut berdukacita di atas pemergian mendiang.
“Saya memahami kegelisahan dan keluhan bapa mendiang, R Sivakumar mengenai cara UUM mengendalikan maklumat dan ketelusan berkenaan sebab kematian anaknya.
“Sebagai seorang bapa, beliau berhak untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca kematian kerana jika ia berpunca akibat masalah infrastruktur di universiti, sudah tentu beliau tidak mahu peristiwa tersebut berulang kepada siswa yang lain,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, pihak UUM dan KPT perlu segera bertindak sekiranya benar kematian disebabkan oleh masalah insfrastruktur bangunan.
Katanya, hal itu perlu diberi perhatian serius agar mahasiswa lain tidak mengakami nasib sama seperti S Vinosiny
“Saya berharap pihak UUM dan KPT akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kematian S Vinosiny, dan dapat memberikan penjelasan terperinci yang memuaskan berhubung kematian berkenaan kepada keluarga mendiang dan juga kepada umum.
“Saya turut memberi perhatian dan bersetuju terhadap apa yang disuarakan oleh wakil pelajar dari SPF UUM (pesatuan pelajar) yang meminta pihak UUM supaya mendedahkan perincian berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan mahasiswa,” katanya lagi.