Cadangan bekas duta Dennis Ignatius dalam surat terbukanya kelmarin yang mahu melihat Ketua Pembangkang Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda dalam Pakatan Harapan (PH) mendapat reaksi keras pemimpin KEADILAN.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, cadangan seperti itu amat dangkal, tidak berasaskan realiti politik semasa serta akan merugikan masa hadapan pembangkang.
“Dalam surat terbukanya, beliau (Ignatius) menggesa Anwar Ibrahim meletakkan jawatan demi memberi laluan pemimpin-pemimpin muda seperti Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Hannah Yeo dan Syed Saddiq.
“Surat terbuka yang ditulis dalam bahasa diplomatik itu lupa satu hakikat, atau sengaja dibuat tidak nampak.
“Kalau Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sekarang dalam KEADILAN dan Pengerusi PH maka sudah pasti akan wujud vakum atau kelompangan dalam Blok Pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hassan lagi, surat Ignatius itu sekiranya diteliti lebih mendalam mungkin membawa pemikiran yang mahu meletakkan tokoh tertentu menerajui PH.
Katanya, sekiranya Anwar benar benar meletak jawatan siapakah yang dapat memberi jaminan tokoh tokoh muda akan diberi peluang untuk memimpin pembangkang, kerana perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan oleh pemimpin utama PH.
“Dennis Ignatius seorang yang mengkagumi Tun Dr Mahathir Mohamad tentu tidak naif dengan cadangannya minta Anwar Ibrahim meletak jawatan.
“Pagi ini Anwar meletak jawatan, misalnya, tengahari nanti akan muncul semula Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan diri untuk mengetuai Blok Pembangkang.
“Adakah ini yang Dennis Ignatius impikan?” tanya Hassan.
Untuk rekod, PH tidak pernah membincangkan mengenai pertukaran pemimpin yang lebih muda bagi memimpin gabungan itu.
Malah PH meneruskan sokongan kepada Datuk Seri Anwar untuk terus menerajui gabungan memasuki Pilihan Raya Umum ke 15.