Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang bakal diadakan dalam hitungan bulan seharusnya menjadi fokus utama anggota KEADILAN setelah selesai pemilihan 2022.
Dalam ucapan penghargaan di atas kemenangannya, Timbalan Presiden KEADILAN yang baharu, Rafizi Ramli bertekad akan memulakan gerak kerja PRU sebaik sahaja selesai menemui Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat restu dari beliau.
“Di atas kesempatan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota KEADILAN yang telah mempamerkan kematangan dalam melalui pemilihan. Saya menyeru supaya keseluruhan pimpinan KEADILAN di semua peringkat menerima dengan berlapang dada isyarat akar umbi yang telah dizahirkan di peti undi.
“Saya juga berterima kasih kepada saingan saya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah menghubungi saya lebih awal sebelum keputusan tidak rasmi keluar.
“Kami telah bersama-sama membina parti ini sejak 1998, bodohlah mereka yang beranggapan perbezaan pendapat kami boleh memutuskan keikhlasan dan kesetiaan kepada KEADILAN.
“Saya juga akan menguruskan perjumpaan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kadar segera untuk memulakan urusan persediaan KEADILAN menghadapi PRU15 yang saya jangka akan dipanggil dalam beberapa bulan lagi,” katanya.
Menurut Rafizi, dalam beberapa bulan ini diharapkan KEADILAN akan kembali mantap sebagaimana sebelum PRU 14 lalu dan bersedia menggempur mana mana kubu kebal BN atau PN.
Hal itu, katanya akan berlaku apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi yang serasi dan masing-masing melaksanakan tugasan dengan berkesan.
Rafizi juga mengucapkan terima kasih kepada anggota parti di atas kemenangan bersejarah yang diberikan oleh anggota KEADILAN ke atas seorang ahli politik biasa seperti beliau.
“Saya terterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi KEADILAN bersetuju dengan pendirian saya (strategi kukuhkan parti).
“Dalam sejarah pemilihan KEADILAN sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang Timbalan Presiden mendapat mandat yang sebegini besar. Selain dari undi popular hampir 60%, lebih 80% dari semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai Timbalan Presiden kepada saya.
“Saya tahu ia bukanlah sebab anggota akar umbi KEADILAN lebih sukakan saya berbanding Datuk Seri Saifuddin Nasution. Saya tahu saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan saya banyak kelemahan sendiri.
“Anggota akar umbi KEADILAN memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.
“Seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka,” katanya.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu juga tidak lupa untuk menghargai penyokong setianya di seluruh negara dan pasukan kempen beliau yang berusaha begitu gigih sehingga beroleh kemenangan besar.
“Akhir sekali, saya wajib mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan pasukan kempen saya di semua peringkat yang terdiri daripada anggota akar umbi yang tidak berjawatan.
“Merekalah yang berkempen tanpa jemu di seluruh pelosok negara hingga berjaya menyatukan parti ini di bawah satu gagasan, iaitu kesediaan kita untuk masuk PRU15 tanpa ada sedikit pun kompromi atas prinsip dan maruah kita sebagai parti reformis.
“Saya dan rakan-rakan yang diberi mandat dalam pemilihan ini tidak mampu membalas jasa dan penat lelah anggota akar umbi di seluruh negara. Jasa itu akan kekal sebagai hutang dan InshaAllah saya akan sentiasa ingat bahawa hutang itu hanya akan langsai apabila kita berjaya membawa perubahan politik di negara ini sekali lagi,” katanya.
Melalui keputusan yang disenaraikan malam tadi oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti, Rafizi Ramli memperoleh kemenangan apabila mendapat 68,992 undi meninggalkan pencabarnya, Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan 50,038 undi.