Pemilihan KEADILAN 2022 menyerlahkan beberapa isu mengenai penambahbaikan untuk memperkasakan sistem pemilihan parti.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN yang baharu, Rodziah Ismail, pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) seharusnya melakukan penilaian semula kaedah berkempen yang menelan kos tinggi bagi membenarkan bakat bakat baharu bertanding pada masa akan datang.
Hal itu dinyatakan Exco Selangor itu dalam perutusan terima kasih kepada anggota KEADILAN atas kemenangan tidak rasmi beliau petang semalam.
Katanya, jika kaedah pemilihan memerlukan kempen road show ke seluruh negara maka bakat bakat muda misalnya tidak akan menawarkan diri kerana kekangan kewangan.
“Kalau saya tak ada wang yang cukup untuk guna (biaya) kenderaan, naik kapal terbang (akan membantutkan hasrat bertanding).
“Isu besar di sini saya dapati isu dana. Penyelesaiannya, kalau bagi anak muda elok KEADILAN memikirkan satu platform yang lain. Saya cadangkan JPP selain kendali pendaftaran calon, urus daftar undi mereka juga perlu sediakan platform khas. Kita bayar yuran, macam saya bayar RM10,000, mungkin JPP boleh tetapkan satu waktu yang calon berdebat di YouTube dan tidak perlu gunakan duit.
“Saya nampak potensi banyak di bawah itu (yang terhalang bertanding). Kita juga boleh bersoal jawab dengan calon secara spontan (guna media sosial). Ini era kita amalkan budaya hanya yang layak memimpin, dipilih,” katanya.
Menurut beliau, hal itu disuarakan kerana perlunya wanita mempunyai pendapat yang sedikit berbeza dengan arus perdana parti dan boleh membuat keputusan yang berbeza, terutama dalam hal hal mencungkil bakat baharu kepimpinan yang kurang ditekankan oleh parti
“Wanita perlu apa? Saya kata wanita perlu kepimpinan yang berani untuk membuat keputusan yang sedikit berbeza dan boleh menyuarakannya di platform yang betul,” katanya.
Rodziah juga melihat kekurangan undian anak muda dalam pemilihan kali ini terutama dalam kalangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) perlu diperbaiki.
Katanya, mungkin anak muda kurang berminat apabila parti memberi mereka peranan kecil dan tidak kepada isu isu dasar atau strategi perjuangan.
“Wanita keputusannya 44,000 keluar mengundi (dicampur keseluruhan). AMK agak kurang dalam 24,000 undi. Signifikannya apakah masalah sebenar?
“Sama ada anak muda tak ramai dalam KEADILAN atau tak keluar mengundi? Kita perlukan satu fokus memastikan anak muda yang telah menawarkan diri menjadi anggota parti diberikan pengkhususan. Beri tempat atau peranan signifikan. Jangan lagi lihat anak muda buat kerja gantung bendera, kerja logistik, hidang makanan dan sebagainya. Kita kena bersedia memahami peranan anak muda penting dan signifikan dalam parti,” katanya.
Selain itu, Rodziah juga mengucapkan penghargaan kepada anggota KEADILAN seluruh negara yang mengundi beliau dalam kemaraan arus ‘Ayuh Malaysia’ membuat perubahan yang lebih bermakna dalam Pilihan Raya Umum ke 15 nanti.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang beri undian. Juga yang memenangkan saya di Cabang Shah Alam. Kemenangan ini adalah satu yang manis kerana pertama kali saya bertanding dan menang di Shah Alam.
“Saya gembira kali ini anggota memainkan peranan baik. Yang mengundi atas talian pula 79% daripada fizikal. Mungkin itu berita baik bagi KEADILAN kerana anggota telah bergerak ke arah digital.
“Terima kasih kepada wanita yang telah pun mengundi, walaupun saya tak umum secara rasmi. Saya tidak pasti aduan yang dikemukakan kepada JPP, tetapi saya harapkan keputusan tetap dan tiada perubahan,” katanya.
Rodziah menjelaskan kenyataan rasmi beliau berhubung kemenangan hanya akan dikeluarkan selepas JPP membuat pengumuman rasmi sebulan akan datang, selepas semua aduan dipertimbangkan.