Otai Reformis 1998 menghantar wakil untuk bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.
Salah seorang calonnya adalah Timbalan Presiden Otai Reformis, Mustapha Mansor Amer Mohd Isa yang bertekad mahu menjadi penghubung antara generasi baharu dan lama dalam KEADILAN.
Katanya, beliau akan menggunakan pengalaman selama 20 tahun bergerak adalam arena reformasi untuk memantapkan perjuangan parti.
“Saya berjuang sejak Datuk Seri Anwar disingkir dari kerajaan dan bersama sama mengaktifkan gerakan reformasi bersama rakyat yang terkejut dengan insiden tersebut
“Dari sinilah saya belajar tentang makna sebuah perjuangan reformasi.
“Setelah lebih 20 tahun dalam gerakan ini dan menyaksikan kegagalan Pakatan Harapan mempertahankan Putrajaya dibadai Langkah Sheraton, saya rasa tiba masanya untuk Otai Reformis berperananan dalam MPP,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menawarkan beberapa perkara untuk diketengahkan sebagai agenda sekiranya terpilih sebagai ahli MPP
“Saya akan pastikan KEADILAN akan terus relevan dalam kancah politik di Malaysia dan terus diyakini oleh rakyat sebagai pembela nasib mereka
“Saya dan seorang lagi calon, Razak Ismail juga akan bertindak menyejukkan kelompok-kelompok yang berbeza pandangan dalam mengejar misi KEADILAN menawan Putrajaya
“Kami juga akan menjadi penengah antara kelompok muda dan tua dalam parti,” katanya lagi.