Pengundi Atas Pagar merupakan penentu kemenangan kepada KEADILAN atau Pakatan Harapan (PH) dalam sekian banyak pilihan raya.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, golongan Atas Pagar yang membentuk 15 – 20% pengundi berdasarkan kawasan tidak keluar membuang undi. Hal ini menyebabkan KEADILAN dan Amanah kalah di banyak DUN yang sebelum itu dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu.
Bagaimanapun, strategi Rafizi Ramli yang akan menumpukan kepada kehendak dan isu pengundi Atas Pagar menyebabkan beliau dan pasukannya menang pada Pemilihan KEADILAN 2022.
Bagaimanapun, menurut Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang, kemenangan Rafizi bukanlah bermakna golongan Atas Pagar yang menyokong perjuangan Rafizi tetapi bukan anggota KEADILAN akan kembali dengan mudah untuk keluar mengundi pada PRU akan datang.
“Sekarang mungkin orang lihat apa yang Rafizi bawa itu, apa yang dia suarakan itu, adalah suara mereka.
“Jadi mereka rasa ok sokong Rafizi. Tetapi selepas itu mereka akan tengok apakah Rafizi atau KEADILAN lakukan. Kalau apa yang parti lakukan tak sama dengan apa yang kita war warkan, saya rasa mereka mungkin tidak balik (keluar mengundi) juga,” katanya.
Bagi Lih Kang, parti perlu berhati hati dalam mendapatkan semula sokongan dengan mengetengahkan polisi yang betul. Katanya jika berlaku kesilapan dalam memberi isyarat kepada golongan Atas Pagar maka berkemungkinan sokongan mereka tidak boleh diraih.
“Kita kena hati hati sebab ini adalah tentang pilihan raya. Ini boleh tentukan kita kalah atau menang
“Saya rasa yang penting adalah suara (sebenar) rakyat,” katanya.
Berbanding Umno yang mempunyai pengundi tegar dan tidak memperdulikan perkembangan politik semasa, KEADILAN dan Amanah mempunyai pengundi dalam kalangan golongan profesional dan yang tidak berparti membentuk 15 – 20% pengundi.
Pada PRU 14 lalu PH berjaya meyakinkan golongan Atas Pagar ini untuk menumbangkan BN bagi membentuk Malaysia yang lebih baik.
Namun persaingan politik selepasnya menyebabkan golongan berkenaan tidak lagi berminat untuk keluar mengundi dalam siri PRN.