Kementerian Pertahanan tidak wajar terus mendiamkan diri daripada mengambil tanggungjawab membela kebajikan anggota tentera yang berpencen dan tidak berpencen di negara ini.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar Menteri Pertahanan bertindak segera ke atas tuntutan peserta himpunan Reunion Veteran di Kuala Lumpur, pagi tadi
“Saya ikuti perkembangan perhimpunan aman oleh para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tugu Negara hari ini.
“Ternyata mereka ini tiada pilihan lain untuk menegakkan hak mereka dan beberapa perkara lain selepas gagal mendapat tumpuan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, isu kebajikan veteran tentera telah beberapa kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang namun tidak ditangani dengan berkesan oleh Kementerian.
Kini setelah veteran berhimpun menuntut hak mereka, kata Anwar, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak boleh berdolak dalik lagi dan perlu segera bertindak melunaskan tuntutan wira wira yang telah berjasa kepada negara itu.
“Isu ini (kebajikan) sudah beberapa kali saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan bawa di Parlimen, dan hari ini sekali lagi saya mendesak Menteri Pertahanan untuk segera ambil tindakan terkait perkara ini.
“Usahlah abaikan suara golongan veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara kita,” katanya lagi.
Pagi tadi kira kira 1,500 veteran tentera dari seluruh negara berhimpun di Tugu Negara, Kuala Lumur bagi menuntut kerajaan memberi layanan yang lebih baik terhadap kebajikan mereka, terutama menilai semula skim pencen yang rendah bagi sebilangan anggota dan menuntut anggota yang berkhidmat melebihi 10 tahun diberi pencen secara automatik.