Pihak yang perlu dipersalahkan berhubung masalah berterusan bekalan air di Kelantan adalah kerajaan Pas kerana parti tersebut memerintah Kelantan sejak 3 dekad lalu.
Cuma sebelum ini, Pas menyalahkan peruntukan yang disekat oleh kerajaan BN sebagai alasan. Bagaimanapun apabila Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan rakyat Kelantan tetap juga menghadapi masalah bekalan air.
Bagi mantan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, masalah air jelas berpunca daripada kelemahan Kerajaan Negeri Pas dan agensi yang diamanahkan menguruskan bekalan air, iaitu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) gagal bertindak bijak dalam mencari punca masalah.
Katanya, masalah bekalan dengan mudah boleh diselesaikan sekiranya punca air dicari dan kemudahan mengeluarkan air dibina secara betul.
“Kegagalan AKSB urus air ini menjadi punca masalah bekalan air
“AKSB banyak bina telaga. Ada 37 loji. Kebanyakan telaga memakan belanja besar tetapi bila siap air tak boleh dikeluarkan. Sebagai contoh, saya telah menyenaraikan telaga baru siap yang kapasiti pengeluaran ikut reka bentuknya 117 juta liter air
“Tetapi kapasiti dari 5 telaga yang sepatutnya 117 juta liter itu hanya keluarkan 50 juta liter sehari. Tak sampai separuh kapasiti asal. 67 juta liter tak keluar. Pasal apa? Saya bukan pakar industri air tetapi dari perbincangan dengan pakar lain adalah kerana reka bentuk yang salah.
“Tidak diadakan satu kajian menyeluruh terhadap sumber air di tempat nak dibuat loji. Bila loji siap kapasiti air dalam bumi tidak memadai dengan apa yang hendak dikeluarkan. Bila dipam maka tak keluar penuh,” kata Husam dalam temubual eksklusif bersama Sumberkini, malam tadi.
Selain itu, Pengerusi NGO Save Kelantan itu juga mendedahkan kelemahan telaga jejari yang dianggap oleh pihak AKSB berpotensi menyelesaikan masalah bekalan air.
Katanya, telaga itu bersifat cetek dan dipasang jari jari di kiri kanan telaga untuk memasukkan air bawah tanah ke perigi utama.
“Kebanyakan yang gagal dari jenis telaga jejari ini. Tetapi AKSB terus berulang kali bina telaga jejari.
“Telaga ini harganya lebih mahal dari telaga lain. Kapatisi pula tak sampai tujuan kerana itu kita ada masalah tak cukup air,” ujarnya.
Menurut Husam, pada ketika ini berdasarkan akaun pengguna terdapat keperluan air 512 juta liter. Pihak AKSB hanya mampu keluarkan 458 juta liter. Tidak cukup 50 juta liter tetapi ianya boleh diatasi sekiranya telaga dibina dengan cara yang betul.
Bagaimanapun, katanya terdapat satu lagi masalah iaitu paip bocor. Masalah tersebut, tegas Husam menyebabkan separuh daripada bekalan air hilang ke dalam tanah.
Begitu juga masalah paip kecil. Misalnya di Parlimen Kubang Kerian yang mengalami tekanan rendah kerana saiz paip hanya 4 inci, sedangkan bekalan perlu diberikan kepada 50,000 akaun pengguna.
“Masalah paip pecah dan kecil ini sepatutnya telah diatasi. AKSB bukan tak baiki paip. Sebelum baiki (dengan peruntukan) RM125 juta kebocoran 40%, bila dah baiki naik 52%. Tak tahu apa sebabnya.
“Oleh kerana itu kalau kita tahu masalah utama paip bocor maka elok tukar paip dulu. Kalau lebih banyak tangki pun tetapi separuh terbuang dalam tanah tak selesai masalah
“Bila buat tangki atau loji, projek ini dibiayai oleh PAAB. Bila siap, loji akan diuruskan AKSB tetapi kena bayar kos itu balik. Namun kalau baiki paip, PAAB beri geran tak payah bayar kerana insfrastruktur paip bukan komersial dan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kalau orang lain uruskan AKSB, dia akan buat pelan ganti paip dulu kerana air cukup. Kenapa nak buat loji dan tidak baiki paip? Nampak cara pengurusan AKSB ini ada unsur unsur ketidakcekapan,” kata Husam lagi.
Namun dengan Kerajaan Negeri yang tidak mahu mengakui kelemahan maka Husam tidak nampak perkara itu akan diselesaikan dalam masa terdekat melainkan berlakunya perubahan politik.