Sungai Siput, 20 Februari: Setelah beberapa tahun penduduk orang asli daripada Kampung Perje di DUN Lintang, Sungai Siput meminta bantuan daripada ADUN kawasan tersebut (YB Fakeh Adam) dan ahli parlimen Sungai Siput pada masa itu (YB Samy Vellu) untuk membina sebuah titi gantung di kampung mereka namun tiada seorang pun yang sudi membantu.
Titi gantung sedia ada telah usang dan membahayakan penduduk kampung menyeberangi sungai untuk ke ladang mereka. Malangnya, kedua-dua ahli politik tersebut berkata pembinaan titi tersebut tidak dapat dilaksanakan akibat kewangan yang tidak cukup.
Hampa dengan alasan itu, wakil-wakil orang asli meminta bantuan dari Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar. Walaupun menghadapi kemelut kewangan akibat tidak diberi peruntukan sebagai ahli parlimen oleh kerajaan pusat, Dr Jeyakumar serta ahli-ahli lain daripada PSM cawangan Sg Siput bersetuju juga untuk membuat projek pembinaan titi gantung tersebut secara sumbangan derma dan gotong-royong.
Terdapat juga beberapa pihak yang menyumbang bantuan kewangan bagi membolehkan segala bahan binaan serta alat yang diperlukan dapat disediakan. Aspek teknikal pula seperti pelan membina titi gantung mendapat sumbangan daripada beberapa rakan yang berkemahiran khususnya Ir Haji Mazlan, seorang bekas jurutera tentera dan merupakan salah seorang pemimpin PAS di kawasan Sg Siput . Beliau serta pasukannya yang terdiri daripada ahli-ahli PAS juga telah memainkan peranan yang penting dalam pembinaan itu.
Akhirnya, projek pembinaan titi gantung di Kg Perje telah pun berjaya disiapkan. Pada 20 haribulan Februari baru-baru ini, pelancaran titi gantung itu diadakan di Perje. Seramai 200 orang hadir termasuklah hampir semua orang yang menyumbang kepada pembinaannya.
Beberapa orang pemimpin PR memberi ucapan seperti Dr. Jeyakumar, Ir Haji Mazlan, Bekas menteri besar Perak, YB Nizar, Saudara Nagen, jaringan orang Asal, Setiausaha agung PSM S.Arutchelvan dan ramai lagi.