Hujah politik yang sering digunakan oleh BN untuk memburukkan Pakatan Harapan (PH) ialah kerajaan 22 bulan yang penuh kelemahan.
Bagaimanapun hal itu tidak disangkal oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Katanya, jangankan PH di Putrajaya ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pun dalam 22 bulan terawal negeri itu tidak stabil dan skim kebajikan rakyat pun amat sedikit.
Namun kerana ahli politik yang tidak khianat serta rakyat yang terus memberi kepercayaan maka Pakatan telah membuktikan mampu mentadbir Selangor selama 3 penggal.
“Sebab itu Umno BN jadi pelopor awal kacau bilau politik untuk pecahkan PH. Mereka tahu kalau lebih sepenggal PH perintah Putrajaya sebagaimana berlaku di Selangor atau di Pulau Pinang maka mereka nak dapat balik tak ada peluang. Sebab nyawa politik mereka ialah dana dan aktiviti politik kerajaan.
“Bila mereka tengok harga ayam tak naik, bila tengok menteri ke sana ke mari buat kerja, mereka hasut orang. Bangkit isu kaum, isu perpaduan umah.
“Sekarang mana perpaduan umah? Dulu kata malaikat turut menangis dan bertakbir dengan perpaduan umah, sekarang malaikat bertakbir atau tidak? Sebab dah pecah umah, Umno – Pas tak bergabung.
“Jadi jangan termakan dengan permainan ini. Dalam hujah mereka disebut tengok 22 bulan (untuk mengelakkan PH diundi semula).
“22 bulan (realitinya) kita tadbir Selangor dulu pun haru biru. Dari isu lembu korban, tukar sport rim kereta, buka kandang babi, itulah 22 bulan kita,” katanya dalam ceramah Jelajah Harapan Selangor di Tanjong Karang, malam tadi.
Menurut MB lagi, BN menukar strategi apabila melihat PH menggerakkan formula kejayaan di Selangor mentadbir Putrajaya. Mereka mula memujuk serta memperdaya ahli politik PH yang boleh berkhianat.
Katanya, BN terpaksa melakukan hal itu kerana jika menunggu Pilihan Raya Umum ke 15 maka mereka akan ditenggelamkan oleh rekod PH.
Oleh itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia sekiranya mahu mengukur prestasi PH maka lihatlah pentadbiran di 3 negeri pembangkang, bukannya 22 bulan di Putrajaya.
“Kalau nak kata stabil tak stabil, jangan ukur 22 bulan PH di Putrajaya tetapi tengok Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Itu contoh macam mana kita jaga kemakmuran, beri balik sumbangan kepada rakyat,” katanya lagi.