Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa hari lalu dikritik oleh rakyat dan warganet
Bagi Ahli Parlimen, Hassan Abdul Karim, kenaikan sebanyak 25 mata dan menjadikan kadar OPR 2.25% tersebut amat tidak wajar dilakukan pada waktu rakyat menghadapi inflasi tinggi seperti hari ini.
“Golongan mana yang mengalami kesusahan dan kerugian? Jawapannya rakyat jelata, khususnya peminjam. Rakyat yang meminjam membeli rumah, kereta, bank akan terbeban dengan kenaikan OPR.
“Mudahnya kadar faedah naik, bunga bank naik. Yang menjadi susah pembeli rumah, kereta, peminjam bank untuk apa juga urusan. Juga golongan B40 dan M40
“Contoh, katakan ada peminjam meminjam daripada bank untuk beli rumah berharga RM500,000 dan perlu dibayar 30 tahun.
“Kesan daripada kenaikan OPR peminjam tadi dalam masa 30 tahun, kadar faedah dia terpaksa bayar RM25,000. Jumlah ini bukan sedikit,” katanya
Manakala yang untung dalam kenaikan OPR tersebut, kata Hassan, tentulah pihak bank dan pemilik saham yang bertambah kaya.
Hassan kesal kerana BNM tidak memainkan peranannya melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga barang dan membenarkan kenaikkan kadar OPR berkenaan.
“Soalannya apakah peranan BNM? Saya sebagai Ahli Parlimen menganggap BNM ini tidak pedulikan rakyat yang susah. BNM hanya memikirkan golongan kaya, pemilik saham.
“Rakyat terbeban. Harga makanan naik, inflasi naik, pendapatan tak naik. Ringgit jatuh dan paling buruk, kerajaan menyatakan pada akhir tahun ini kemungkinan BNM menaikkan lagi OPR. Rakyat dalam hal ini umpama jatuh ditimpa tangga,” katanya lagi.