Peguam kepada 154 peneroka yang mengambil injunksi mahkamah ke atas CIMB berhubung pinjaman pemberlian saham FGVH, Haris Ibrahim menegaskan borang yang ditandatangani oleh peneroka adalah melanggar undang-undang.
“Menandatangani borang kosong salah dari segi undang-undang. Dari 75 muka surat, hanya 6 muka ditulis dalam bahasa Melayu, malahan untuk membawa balik borang pun tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis taklimat kepada peneroka di Felda Kerdau pada 26 Mei lalu. Menurutnya, tindakan CIMB membatalkan pinjaman itu sebagai tukaran peneroka tidak menuntut apa-apa dari pihak bank adalah penyelesaian terbaik dalam konflik tersebut.
“Kebanyakkan peneroka tidak tahu berapa banyak pinjaman yang hendak diluluskan. Terdapat masalah , ada antara mereka berusia lebih dari 60 tahun. Ini menimbulkan keraguan kerana jika sesuatu berlaku, ianya akan melibatkan banyak pihak di dalam keluarga peneroka itu sendiri,” katanya.
Menurut Haris lagi, pinjaman yang dipohon sekiranya lulus, peneroka tidak akan mendapat wang tunai sebaliknya wang terus disalurkan kepada FGVH dalam bentuk saham.
“Saham disalurkan terus kepada bank sebagai cagaran pinjaman. Bank melantik remiser untuk menguruskan saham.
“Kita tak pasti harga saham akan melonjak atau merudum. Jika untung menjadi hak peneroka tetapi jika jatuh, bank akan menuntut dari peneroka. Kalau hutang mencecah RM30,000 peneroka boleh diisytihar bankrap dan mahkamah boleh merampas atau melelong harta mereka,” jelasnya.