Jawatan Perdana Menteri bukanlah keutamaan sekiranya terpaksa mengorbankan prinsip perjuangan.
Hal itu dinyatakan dengan tegas oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian Kongres Nasional KEADILAN ke 16 pagi ini di dewan utama IDCC, Shah Alam.
Anwar membayangkan, sekiranya beliau sedia berkompromi, menyenyapkan isu korupsi 1MDB dan lain lain maka jawatan PM tersedia dalam ‘dulang perak’ untuk beliau.
“Kalau saya bersedia berkompromi, dengan jenayah rasuah dan bail out yang tidak munasabah.
“Tahun lalu Anthony Loke, Mat Sabu tahu benar. Saya tidak suarakan kerana ini melibatkan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi tandatangan (SD) pembangkang saya ucap terima kasih, solid 105.
“Dari Umno 15. Kata Anthony tolak 2. Kluster mahkamah itu tak boleh diterima, jadi 13. Kita dapat majoriti,” katanya di hadapan 2,000 perwakilan.
Namun kata beliau, para pemimpin kleptokrat dan wakil mereka masih mahukan jaminan untuk melepaskan diri masing masing dan menuntut tekanan diberikan ke atas institusi mahkamah dan badan kehakiman.
“Tetapi pada malam terakhir setelah dikirim surat kepada Yang di-Pertuan Agong. Akuan Berkanun (SD) sampai ke Yang di-Pertuan Agong.
“Saudara saudara, kalau Agong pun mereka permainkan apalah rakyat jelata
“Saat akhir malam itu saya masih menerima mesej, saya belum beri pengakuan tegas untuk menutup kes mahkamah yang sedang berjalan.
“Sebelum 8:00, kalau saya kata ok, bagi nota sedikit, saya dinobatkan sebagai PM (esok). Tetapi saya bersama saudara saudara (rakyat),” katanya.
Kemudian semua mesej itu, kata Anwar dibalas beliau dengan tegas. Tidak mungkin menodai perjuangan rakyat hanya semata mata jawatan PM.
“Kalau nak sebut simpati, sahabat, semua saya boleh sebut tetapi untuk memberi pengakuan bahawa saya akan menutup kes yang melibatkan tokoh utama dalam Umno BN, saya jawab tidak mungkin.
“Saya tidak minta maaf, saya kata, ‘terima kasih. Kita lawan dan kita akan hadapi dalam PRU akan datang’
“Ada yang berkata kalau begitu Anwar ini gagal, demi gagal (tidak akan jadi PM).
“Dengar sini. Nak suruh saya berjaya dengan menjadi penjilat kepada perasuah, pilih presiden lain,” katanya tegas.