KEADILAN akan menghadapi generasi berbeza dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 berbanding PRU yang sebelumnya.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, KEADILAN menghadapi tanggungjawab besar untuk berhadapan PRU akan datang dan menghadapi pula generasi berbeza sama sekali daripada sedekad lalu.
“Kita berdepan generasi berbeza daripada yang masuk pilihan raya sebelum ini
“Ini bukan generasi emosi, turun jalan raya, masuk lokap. Ini bukan generasi bersih. 60% pengundi kita kalau PRU dipanggil 3 – 4 bulan ini umurnya di bawah 35 tahun.
“Mereka tak tahu Bersih, 1998 atau 2008. Kesedaran politik mereka pada 2018. Jadi mereka tidak lihat KEADILAN parti teraniaya, parti bawa suara rakyat dari jalan raya.
“Mereka tak peduli semua itu. Mereka hanya tahu kamu kerajaan apa, kamu buat dan apa yang akan kamu buat,” katanya dalam penggulungan Kongres Nasional KEADILAN ke 16.
Katanya, KEADILAN telah berjaya tumbangkan Umno dalam PRU 14 dan selepas itu rakyat mahu melihat apa yang dilakukan oleh parti dan kerajaan Pakatan Harapan
“Kita telah berjaya tumbangkan Umno. Rakyat terima kasih kepada kita. Kita perlu ingat, selepas kita menang kehendak rakyat terhadap kita lebih rumit. Rakyat mahukan kita bukan semata mata Umno teruk merosakkan rakyat. Mereka tahu Umno buat kerosakan dan rasuah.
“Selepas 2018 setelah kita menjadi kerajan, mereka mahu melihat bagaimana kamu menyelesaikan masalah.
“Selesaikan masalah mesti diterjemahkan dari segi ketangkasan dan kepintaran kita. Kalau kita kata menteri Umno tak cerdik sudah tentu kita perlu jadi cerdik,” katanya.
Rafizi juga mengingatkan bahawa jika memerintah semula pada PRU 15 keadaan negara menjadi sukar dengan kemerosotan ekonomi.
Oleh itu pemimpin KEADILAN perlu lebih bersedia.
“Kita juga berdepan dengan maslah negara berbeza daripada yang dialami sebelum ini. Kita mahu jadi kerajaan dan jangan lupa kalau jadi kerajaan kita berhadapan masalah dan kesukaran yang belum dihadapi sebelum ini.
“Kerajaan akan menghadapi masalah dalam keadaan kewangan kerajaan yang begitu sempit. Kita berada di penghujung kitaran ekonomi yang selama ini bergantung kepada sawit, petroleum, perkilangan.
“Kita ada lagi industri yang boleh menyelamatkan kita. Ekonomi tak baik, wang tak ada. Kita juga mewarisi projek insfrastruktur besar, projek mahal dan dibebankan hutang dari negara China. Beban hutang ini akan diwariskan 10 – 20 tahun dari sekarang,” katanya lagi.