Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengecam kerajaan BN yang tidak ikhlas dalam usaha penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH).
Katanya, sekiranya kerajaan benar-benar ingin membela peneroka, tidak perlu diwujudkan satu ‘dana amanah’ yang diperuntukkan 20 peratus saham FGVH untuk kononnya menjaga kebajikan peneroka. Semua saham boleh disalurkan kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF).
“KPF dimiliki 70 peratus peneroka dan bakinya dimiliki oleh kakitangan Felda. KPF ditubuhkan untuk memberi peluang kepada peneroka dan kakitangan Felda mengambil bahagian dan memegang saham Felda
“Mengapakah pula kerajaan menubuhkan satu institusi dana amanah sedangkan mereka boleh menyalurkan saham secara langsung ke dalam KPF?” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Tony lagi, prospektus penyenaraian FGVH langsung tidak membayangkan kewujudan dana amanah dan ianya menimbulkan kecurigaan mengenai tujuan sebenar institusi itu diwujudkan.
“Najib juga tidak ikhlas kepada peneroka apabila menyebut peneroka akan mendapat keutamaan dengan diberi 70 peratus saham kepada pelabur kecil-kecilan. Apa yang terjadi, hanya 12.5 peratus yang diberikan kepada pelabur kecil
“Faktanya, setelah penyenaraian, peneroka, kakitangan Felda dan pelabur individu lain akan hanya memegang kira-kira 3.68 peratus sahaja,” katanya.
Tony menjelaskan belum terlambat untuk Najib menjadi lebih adil kepada peneroka dengan mengumumkan 20 peratus saham diberi secara langsung kepada KPF.