Kelulusan Rang Undang undang Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti semalam memandakan bermulanya dimensi baharu dalam sistem bernegara Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dimensi baharu itu bukan sahaja tidak membenarkan anggota dewan menukar parti tetapi juga kerjasama antara pembangkang dan kerajaan dalam meluluskan RUU sensitif dan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Detik bersejarah. Pindaan perlembagaan anti lompat diluluskan. Ini adalah kemenangan besar bagi Pakatan Harapan (PH) yang telah mendorong reformasi ini tanpa henti.
“Semoga tiada lagi katak politik.
“Pindaan ini mendapat sokongan dua pihak dan diluluskan dengan 209 undian yang memberangsangkan,” katanya dalam satu siaran media.
Menurut Sim lagi, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 politik Malaysia sangat toksik.
Pihak yang menjadi kerajaan, katanya sentiasa mencari jalan menghukum pembangkang dengan kes mahkamah dan mungkin dipenjarakan.
Namun selepas PRU 14, keadaan berubah kerana kerajaan tidak lagi mendapat majoriti besar dan terpaksa berkongsi kuasa dengan pembangkang.
“Selepas PRU14, dengan jumlah (kerusi) yang hampir sama, Kerajaan dan Pembangkang terpaksa berkerjasama dan kini kita menyaksikan perundangan bersejarah diluluskan dengan kerjasama bi-partisan.
“Saya rasa ini adalah jalan ke hadapan untuk Malaysia.
“Saya berharap Malaysia boleh bergerak ke hadapan, ke arah politik matang yang Kerajaan dan Pembangkang boleh bekerjasama untuk menggerakkan reformasi besar demi negara,” katanya.