Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti semalam mencatat satu sejarah besar apabila 95% anggota Dewan Rakyat memilih untuk meluluskan usul.
Menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) RUU berkenaan mendapat sokongan 100% anggota yang hadir dan merupakan sesuatu yang amat bersejarah dalam sistem Parlimen Malaysia sejak merdeka.
Pindaan RUU itu juga, kata mereka, suatu kejayaan besar Memorandum Kerjasama (MoU) antara PH dan Kerajaan Persekutuan yang belum pernah terjadi dalam sejarah sebelum ini.
“Majlis Presiden PH amat gembira dan berbangga Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat semalam. Jumlah ini bersamaan dengan sokongan sebanyak 95 peratus, berbanding 5 peratus atau 11 Ahli Dewan Rakyat yang tidak hadir.
“Pindaan Perlembagaan yang sangat bersejarah ini adalah satu kemenangan besar untuk rakyat Malaysia. Ia merupakan salah satu tiang seri kepada MoU di antara Kerajaan dan PH.
“PH percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan ini maka keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi itu sendiri akan mulai pulih,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, menurut Majlis Presiden, terdapat 3 daripada 18 perkara dalam MoU yang masih belum dilaksanakan.
Perkara itu adalah mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun; Membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen; dan Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.
Pada masa sama, tambah mereka, Perkara 4, iaitu kebebasan institusi Kehakiman perlulah dilaksanakan sepanjang masa.
“Majlis Presiden dengan ini mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri dua hari lalu bahawa satu MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 akan terus berkuatkuasa selagi mana Parlimen ke-14 belum dibubarkan, sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 2.1 MoU.
“Oleh itu, Majlis Presiden mengarahkan wakil-wakil PH di dalam Jawatankuasa Pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil-wakil Kerajaan bagi membincangkan beberapa Perkara di dalam MoU yang masih berbaki, di samping meneliti perkara-perkara yang dinyatakan Perdana Menteri termasuk berkait pendanaan politik,” kata mereka lagi.
Kenyataan berama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau.