Pakatan Harapan (PH) tidak meluluskan projek pembinaan kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) namun cuba untuk memperbaiki keadaan dan meneliti apakah yang berlaku selepas RM6 bilion dibelanjakan.
Menurut mantan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan mantan Timbakan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, satu siasatan telah dilakukan dengan menubuhan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada 30 Mei 2018 dengan Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai pengerusinya.
“Kerajaan PH cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan projek LCS. Tan Sri Ambrin Buang membentangkan laporan siasatan LCS kepada Kementerian Pertahanan pada 20 Ogos 2019.
“Pegawai Kementerian, pihak TLDM dan pihak kontraktor juga berusaha mencari jalan penyelesaian,” kata mereka dalam kenyataan media.
Kemudian, kata mereka, Pengerusi JKSTUPPK, Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Ariffin Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Reza Sany, dan pegawai-pegawai kanan Kementerian memberi taklimat kepada mantan Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Februari 2020.
Sesi tersebut juga dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Menurut mereka, keputusan mengandungi 3 perkara utama dibuat oleh PM pada waktu itu namun pelaksanaannya tidak berlaku kerana dua minggu selepas itu kerajaan PH tumbang.
“Dalam mesyuarat tersebut, mantan Perdana Menteri memutuskan bahawa mereka yang membuat salah laku mesti dibawa ke muka pengadilan; Pasukan pengurusan BNS dirombak;
“Manakala projek LCS dianggap sebagai projek sakit dan akan menerima suntikan dana untuk ganti balik dana yang disonglap.
“Kementerian Pertahanan diarahkan untuk membentang kertas Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Malangnya, apa yang dirancang tidak berlaku berikutan Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH,” kata mereka lagi.
Justeru, kata mereka, gembar gembur pemimpin BN terutama yang terlibat pada peringkat awal projek kapal kononnya tindakan kerajaan PH menyebabka kapal tidak siap atau lewat diserahkan kepada TLDM adalah karut sama sekali.