Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah seminggu diperkatakan tidak perlu diperpanjangkan dengan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menanganinya.
Hal itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini.
Menurut Hassan, RCI mungkin berguna sekiranya belum ada siasatan serius dilakukan. Namun dalam isu skandal LCS katanya, siasatan lengkap telah pun dilakukan oleh di peringkat Kementerian Pertahanan ketika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa.
“Apa perlunya RCI ditubuhkan untuk siasat penyelewengan skandal LCS ini?
“Penemuan RCI tak sama dengan Kertas Siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atau Kertas Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ada kuasa undang-undang.
“Hasil Siasatan RCI boleh dicabar di mahkamah di bawah kaedah Semakan Kehakiman. RCI yang terma rujukannya ditentukan oleh Perdana Menteri hanya riuh dan sibuk-sibuk saja tetapi pi mai, pi mai tang tu saja.
“Macam-macam RCI telah ditubuhkan sebelum ini. Bolehkah sebutkan contoh orang yang telah diheret ke mahkamah, didakwa dan dihukum denda atau disumbat ke penjara kerana RCI?” tanyanya.
Tegas Hassan, dalam skandal LCS satu laporan audit telah dikeluarkan dan kemudian disemak oleh Jawatankausa Kira kira Wang Negara (PAC), kemudian telah dibentangkan di Parlimen.
Katanya, laporan itu cukup lengkap untuk pihak SPRM meneruskan dengan pendakwaan.
“PAC telah membuat siasatan susulan Laporan Audit Negara berkenaan isu LCS ini dan menemui pelbagai kesalahan yang bersifat salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kelemahan serta kecuaian pengurusan wang yang diperolehi dari kerajaan. Bukan enam ringgit tetapi RM6 bilion.
“Dalam masa yang sama SPRM pun telah buat siasatan tentang isu LCS ini. Dilaporkan telah selesai siasatan tetapi perlu teruskan siasatan lagi ke atas fresh evidence,” katanya.
Bagi Hassan, RCI yang ketika ini telah dicadangkan oleh beberapa pemimpin komponen kerajaan tidak mempunyai kuasa menyiasat secara menyeluruh seperti mana yang ada pada SPRM
Tambah beliau, sekiranya siasatan SPRM tidak lengkap maka pihak lain seperti PDRM perlu dilibatkan, bukannya memulakan bentuk siasatan baharu dalam RCI.
“Apa yang penting SPRM buat siasatan yang meluas dan mendalam serta teliti dalam membina kes yang kuat.
“Kemudian serah Kertas Siasatan kepada Pendakwaraya untuk diteliti dengan cermat.
“SPRM dan Jabatan Pendakwaraya boleh mengambil pengalaman dari kes pendakwaan SRC International dan kes IMDB untuk membina kes pendakwaan dalam isu LCS.
“Jadi jangan berlengah-lengah tangani isu Skandal LCS ini. Lagipun Perdana Menteri sudah bersetuju laporan Ambrin Buang, bekas Ketua Audit Negara tentang LCS boleh dinyahrahsia atau declassify,” katanya lagi.
Menurut Hassan, janji PM kepada rakyat bahawa tidak ada siapa yang bersalah dalam skandal LCS akan dilindungi perlu dituntut dalam hal ini.
Kerajaan, khususnya Peguam Negara perlu bertindak segera dan jangan membuang masa. Cuma pendakwaan perlulah dilakukan secara telus dan jangan ulangi ‘penyakit’ lama, pendakwaan secara terpilih.