Lawatan pihak media atas undangan Kementerian Pertahanan ke tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak melegakan rakyat.
Menurut mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, lawatan itu tidak membuktikan projek LCS bergerak maju kerana pihak media hanya dibawa melawat badan kapal LSC1 dan 2 sahaja.
Sebaliknya, kata mereka, Menteri Pertahanan semasa tidak seharusnya menjawab skandal berkenaan mengikut rentak mantan Pardana Menteri Najib Razak yang tidak memegang apa apa jawatan kerajaan.
“Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menunjukkan sebarang keikhlasan dan ketekadan dalam pengendalian skandal LCS.
“Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil-wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat menyakinkan rakyat kapal-kapal LCS memang wujud dan projek masih berlangsung.
“Namun menurut rakan-rakan media, lawatan semalam seperti “tikus baiki labu”. Media dibawa ke “hull” atau badan kapal LCS 1. Badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan.
“Seperti Datuk Seri Najib, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.
“Persoalannya, kenapa bawa media tengok badan kapal yang sama sejak tahun 2017? Sedangkan Ketua Eksekutif LTAT Datuk Nazim Rahman kata badan kapal boleh dilihat dari jauh dalam perjalanan ke Pulau Pangkor?” tanya mereka dalam kenyataan bersama.
Menurut 2 pimpinan tinggi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, mencocokkan kelengkapan dan peralatan kapal berdasarkan detailed design adalah jauh lebih penting daripada bukti kewujudan badan kapal.
Sedangkan, kata mereka, detailed design belum siap lagi dan peralatan belum dapat dipasang. Projek itu juga tidak dapat diteruskan tanpa detailed design dan sebarang status siap kerja adalah tidak bermakna.
Tambah Mohamad dan Chin Tong, Najib sengaja sejak beberapa hari lalu menunding jari menyalahkan kerajaan PH kononnya sebagai punca kelewatan LCS disiapkan untuk melepaskan diri.
Sedangkan LCS tergendala akibat masalah kewangan, bukannya dihalang oleh pihak kerajaan.
“Kementerian Pertahanan yang dipimpini Mohamad Sabu (2018 – 2020) tidak membeku projek LCS. Projek tergendala kerana kekangan kewangan syarikat BNS. Kerajaan PH cuba selamatkan projek LCS dan sedia menyuntik dana tetapi kerajaan dijatuhkan.
“Dalam 26 bulan ini sejak Langkah Sheraton, jawatan Menteri Pertahanan dipegang oleh Umno, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin.
“Kalau ikut logik Najib, kapal LCS patut dibina lebih cepat selepas Februari 2020. Namun, satu kapal pun tak siap. Dan amat pelik sekali, kenapa status pembinaan yang diumumkan semalam lebih rendah berbanding Oktober 2020?
“Tugas Hishamuddin bukan untuk “cover-up” atau sembunyikan kebenaran projek LCS adalah projek sakit tetapi memberi jalan penyelesaian kepada persoalan persoalan yang tidak berjawab,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, persoalan asas yang sepatutnya dijawab ialah adakah projek LCS dimulakan untuk membiayai hutang lapuk BNS? Di mana RM 745 juta dana LCS digunapakai untuk membiayai hutang lapuk New Generation Patrol Vessel secara haram.
Juga, siapakah yang bertanggungjawab ke atas pertukaran rekabentuk dari Sigma ke Gowind? Menurut Laporan PAC, mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menukarkan sistem pada Julai 2011 tanpa memaklumkan TLDM, dan pada ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah Datuk Seri Najib Razak
“Rakyat juga mahu tahu daripada RM 6.08 bilion yang diberikan kepada BNS, berapakah yang hilang tanpa jejak?
“Bila detailed design yang dijadualkan selesai pada November 2016 boleh dimuktamadkan?
“Apakah jumlah dana suntikan untuk memulihkan projek LCS kerana pada tahun 2021, BNS mencadangkan untuk menerbit sukuk sebanyak RM 4 bilion sebagai tambahan kepada baki baki RM 3 bilion peruntukan asal projek LCS. Adakah BNS memerlukan RM7 bilion lagi selepasRM 6.08 bilion telah disuntik?” tanya mereka.
Terakhir, 2 pimpinan utama PH itu mahu Hishamuddin mendedahkan jadual terbaharu serahan kapal oleh BNS kepada TLDM kerana mereka difahamkan sekiranya projek LCS bermula sekarang, LCS 1 hanya akan diserahkan kepada TLDM pada tahun 2026.