Niat sebenar para Menteri BN dalam mengalu alukan penglibatan anak muda dalam politik dipersoalkan.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak, pada ketika Menteri BN mahukan sokongan anak muda kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, pada sisi lain mereka pula mahu memperketatkan penglibatan anak muda mahasiswa dalam parti politik.
Oleh itu, beliau tertanya tanya adalah kerajaan menganggap anak muda tidak lebih sebagai ‘penyokong bisu’ dalam politik negara.
“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya melancarkan Hari Belia Negara peringkat Negeri Selangor di ‘daerah angkatnya’ di Kuala Selangor menyatakan kemampuan Undi18 untuk menyediakan pelantar politik yang lebih segar dan keupayaannya untuk mengetengahkan suara generasi muda.
“Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad pula dalam ucapannya berkata Kementerian komited memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para mahasiswa agar cakna sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara.
“Ironinya, dalam minggu ini juga negara kita dikejutkan dengan beberapa cubaan mengekang kebebasan berpolitik mahasiswa yang merupakan salah satu kumpulan pengundi Undi18 melalui satu cadangan pengenalan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik di Dalam dan di Luar Kampus) 2022.
“Melalui peraturan ini, sebarang aktiviti politik sama ada secara partisan atau tidak partisan, tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada pihak universiti,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, rakyat harus melihat sikap hipokrit dan genetik penindas dalam diri pemimpin Umno sejak berdekad dekad lalu kini muncul semula pada era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Haziq lagi, meminda akta dan menghadkan kebebasan berpolitik untuk mahasiswa adalah usaha mensabotaj kebebasan yang telah diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 2019 lalu.
“Hal ini dilihat seperti satu usaha untuk menimbus dan menarik semula kebebasan berpolitik termasuk di dalam kampus yang diberikan kepada mahasiswa pasca pindaan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada tahun 2019, sekali gus mengkhianati semangat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas untuk mengundi.
“Kita juga dikejutkan dengan pendakwaan yang dikenakan kepada Aliff Naif, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa yang merupakan seorang anak muda dan pengundi kali pertama, hanya kerana bersuara mengangkat isu rakyat sekali gus sekali lagi mengkhianati semangat pelaksanaan Undi18 ini.
“Saya menggesa PM Datuk Seri Ismail Sabri menghentikan ‘kegilaan’ yang berlaku melalui beberapa siri pengkhianatan terhadap semangat pelaksanaan Undi18 ini, dan memenuhi maqasid membenarkan pengundi muda mengundi dengan memberikan kebebasan untuk meneroka dan mengetengahkan pandangan sebagai salah satu proses melahirkan pengundi muda yang matang,” katanya lagi.
Haziq menyeru agar kerajaan BN berfikir lebih rasional dalam tindakan mereka kerana segala jawatankuasa yang ditubuhkan dan program-program kesedaran mengundi untuk Undi18 tidak akan berhasil sekiranya dalam masa sama kerajaan cuba mengekang kebebasan pengundi muda daripada bergiat dalam politik.
Beliau berkata, tidak wajar Kerajaan BN balik semula ke era 1970an lalu yang memandulkan aktivisme dalam kalangan mahasiswa, dan mahu mereka menjadi ‘lembu dicucuk hidung’ mengundi parti itu dalam pilihan raya.