Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan dan Gabungan Membantah Penyenaraian Felda Global Venture Holding (GSF) mengisytigarkan perang terhadap penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) hari ini.
Perisytiharan itu berikutan kerajaan langsung tidak mahu mengadakan rundingan dengan pihak peneroka berhubung isu penyenaraian yang dimuktamadkan pada 20 Jun depan.
Menurut pengerusi Anak, Mazlan Aliman, GSF telah melakukan pelbagai usaha untuk berbincang dengan Perdana Menteri namun tidak dilayan dan pemimpin Umno menunjukkan sikap sombong serta tidak peduli kepada peneroka.
“Kita isytihar perang kepada penyenaraian kerana pemimpin BN telah muktamadkan proses penyenaraian pada 28 Jun dan tidak mahu mendengar suara para peneroka.
“Kita akan adakan kempen yang lebih radikal dalam tempoh 3 minggu ini. GSF akan melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran sama seperti himpunan GMI, PPSMI dan Bersih sebelum ini,” katanya.
Menurut Mazlan penindasan yang dilakukan ke atas peneroka tidak boleh diterima lagi melalui pelbagai penipuan kepada peserta Felda yang dipaksa membeli saham dan bakal menanggung kerugian
“Dokumen pinjaman bank sehingga 70 muka surat. Peneroka diarahkan tandatangan setiap helai muka surat kosong. Tidak dinyatakan peneroka dapat saham berapa dan berapakah nilainya.
“Tetapi tiba-tiba apabila keluar borang biru, peneroka hanya dapat 800 unit saham dengan nilai RM3,640. Sedangkan dahulu pihak bank membayangkan akan meluluskan pinjaman sehingga RM50,000 setiap seorang. Kita persoalkan jumlah RM46,000 lagi diberi kepada siapa?
“Kita khuatir pinjaman peneroka tetap diluluskan RM50,000 tetapi nilai itu disalurkan kepada FGVH. 80,000 peneroka telah menandatangani pinjaman. Bermakna bank akan mengeluarkan RM6 bilion. Bagaimanakah kalau saham jatuh, tentu peneroka akan menanggung kerugian?” katanya.
Selain itu, tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengecualikan Pengerusi Felda Isa Samad dari mengikut peraturan kecil keahlian KPF adalah jelas suatu salah guna kuasa.
“Pengecualian itu salahguna kuasa menteri. Isa tidak layak menjadi ahli KPF kerana bukan peneroka Felda, bukan pekerja Felda dan tidak menjadi ahli dalam tempoh dua tahun.
“Pengecualian hanya boleh dilakukan oleh menteri dalam keadaan tertentu yang mendesak (seperti KPF bergolak dan sebagainya)
“Ada usaha untuk menaikkan Isa menjadi pengerusi KPF, menggantikan Datuk Dzulkifli Abd Wahab. KPF sekarang tidak masuk dalam penyenaraian Felda. Jika Isa menjadi pengerusi baru maka KPF mungkin akan dimasukkan dalam pakej penyenaraian,” katanya.
Mazlan juga menempelak proses penyenaraian yang mana peneroka Felda dipaksa menandatangani borang secara tidak beretika dan tidak langsung diberi penerangan mengenai prospektus saham
“Ada antara laporan yang saya terima ketua blok datang ke rumah peneroka pukul 11 malam, minta kad pengenalan dan suruh sain borang. Katanya, esok borang akan diserahkan kepada pengurus. Ini cara yang paling tidak beradap dan tidak beretika dalam proses penyenaraian,” katanya.