Keputusan menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) merupakan kata sepakat yang diambil dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH) terkini, bukannya keputusan peribadi mana mana pemimpin.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, tindakan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meremehkan kenyataan beliau menunjukkan perangai sebenar pemimpin PN yang tidak menghormati keputusan parti parti gabungan.
Tegas Rafizi, PN sebelum memang ini pakar dalam hal merundingkan keputusan bersama beberapa kerat pemimpin tanpa melibatkan parti parti lain sehingga terjadinya Langkah Sheraton pada 2020.
“Mereka pakar bab-bab runding belakang. Pendirian rasmi parti lain mereka tidak hormat atau terima kerana mereka percaya boleh berurusan dengan watak-watak tertentu yang sama berkepentingan seperti mereka.
“Mereka bangga dengan budaya runding belakang yang membelakangi parti-parti lain ini kerana budaya inilah yang membolehkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Mereka tidak hormat soal mandat, pilihan rakyat atau pilihan akar umbi parti. Mereka tidak hormat demokrasi.
“Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini merupakan keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir. Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah,” kata Rafizi dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sekiranya ada satu dua orang pimpinan dari parti-parti dalam PH yang masih mahu berbincang dengan PN, itu adalah pandangan peribadi mereka.
Malah jika Muhyiddin mengharapkan ada Azmin kedua dalam PH maka beliau tidak akan bertemu lagi watak sedemikian lagi setelah PH dibersihkan.
Selain itu, Rafizi juga menempelak tujuan sebenar kerjasama PN kerana bukan dibuat atas tujuan menyelamatkan rakyat sebaliknya lebih kepada menjaga kerusi yang mungkin bakal hilang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, rekod pentadbiran PN tidak baik dan hanya akan merosakkan potensi kemenangan mana mana gabungan yang bekerjasama dengan mereka.
“Semasa watak-watak yang kini menjadi menteri PN berada dalam kerajaan PH dahulu, watak inilah yang mengundang kekecewaan rakyat terhadap PH.
“Azmin Ali gagal sebagai menteri ekonomi, sumbangan terbesar Redzuan Yusof (Pak Wan) hanyalah idea kereta terbang. Sehingga sekarang PH dipersalahkan atas kebodohan idea watak-watak PPBM yang kini berada dalam PN.
“Seorang lagi watak PN, Rina Harun dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mengawal agensi-agensi penting yang sepatutnya boleh mengubah kehidupan rakyat di desa. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang idea baru yang pernah diketengahkan Rina. Yang hanya berubah penampilan Rina, rakyat desa hidupnya sama.
“Semua menteri-menteri besar dari PPBM kecundang dan sudah dilupakan kini. Tidak ada seorang pun menteri-menteri besar PPBM yang pentadbirannya ada kesan berpanjangan kepada rakyat,” katanya.
Manakala alasan Muhyididn bahawa negara perlu diselamatkan dari Umno dan BN sebagai alasan utama untuk berkerjasama bolehlah dianggap hipokrasi.
Menurut Rafizi, Muhyiddin sendiri menerima ahli-ahli Parlimen Umno yang terpalit dengan rasuah masuk ke PPBM demi untuk beliau menjadi Perdana Menteri, mana mungkin beliau mahu menyelamatkan negara daripada Umno.
“Konon Muhyiddin takut dengan kerosakan yang akan dibawa Umno, tetapi Muhyiddin dan PN juga yang membentuk kerajaan bersama-sama Umno. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan sekarang bukan dari PH, mereka dari Umno.
“Lebih baik Muhyiddin menyatakan secara terbuka PN ingin bekerjasama dengan PH demi kepentingan peribadi dan kuasa, bukan untuk kepentingan negara sebab kami tidak bodoh. Kami mungkin muda tapi kami tidak bodoh.
“KEADILAN dan PH akan terus meyakinkan rakyat melalui usaha kami menentang rasuah, membasmi politik kebencian perkauman dan membawa idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.