Parti Muda yang telah mula diundang dalam siri ceramah jelajah anjuran Pakatan Harapan (PH) mula menjadi isu dalam kalangan akar umbi .
Terdapat ulasan yang tidak mahukan Muda kerana parti komponen PH juga mempunyai sayap pemuda masing masing.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari, persoalan penyertaan Muda sebagai komponen, sekutu atau sebagainya biar pun tidak dipohon oleh parti itu mungkin boleh diperhalusi dalam permukiman PH yang akan diadakan menjelang Hari Malaysia nanti.
“Ia harus dilihat kepada satu kerangka besar dakam perjuangan kita untuk melakukan reformasi dalam negara.
“KEADILAN dan PH yang mendukung gagasan tersebut harus memikirkan secara tuntas dalam retreat yang akan berlangsung berdekatan Hari Malaysia nanti.
“Dalam hal ini pandnagan akar umbi juga penting kerana mereka yang bertugas, membantu kempen pada hari pilihan raya. Jika mereka tidak diyakinkan maka mungkin memberi kesan sebaliknya,” kata Amirudin menjawab soalan wartawan di majlis anjuran yayasan Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Tambah Menteri Besar Selangor itu, isu berkenaan sesuatu persefahaman mungkin pada awalnya dipandang negatif tetapi kemudiannya sudut positif akan terserlah.
Beliau memberi contoh, Memorandum Kerjasama (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PH yang pada awalnya dikritik banyak pihak tetapi kini dipuji kerana memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Saya ambil contoh MoU. Ada pandangan negatif peringkat awal. Namun hasilnya baik apabila kita dapat akta anti lompat parti yang telah diluluskan di Parlimen. Saya percaya ia satu yang reform dan diharap harapkan.
“Darti MoU ini hanya beberapa perkara sahaja lagi yang belum selesai, seperti had masa PM dua penggal, namun banyak perkara seperyi jawatankuasa Parlimen misalnya diwujudkan hasil MoU
“Justeru pimpinan parti perlu melihat secara menyeluruh. Bagaimanapun langkah awal kita menjelang PRU ialah mengukuhkan PH,” katanya lagi.