Niat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) perlu diperhalusi oleh para pimpinan dengan cermat agar semua pihak berpuas hati.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan, biar pun pimpinan KEADILAN temasuk AMK menyambut baik mana mana pihak yang ingin berkerjasama menumbangkan kerajaan BN – PN namun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkang sebelum menerima MUDA menganggotai PH.
“AMK Pulau Pinang menyambut baik sebarang usaha dalam menumbangkan Umno – BN dan PN yang dilihat mengenepikan agenda peduli rakyat, khususnya anak muda.
“Pun begitu, jika kita singkap semula sejarah lalu yang telah membuktikan perjanjian dan konsensus yang termeterai pernah dimungkiri Bersatu tanpa rasa malu dan bertanggungjawab dek kerana rakus dahagakan kuasa. Pakatan Harapan diperalatkan begitu sahaja demi kepentingan puak atau kumpulan tertentu yang dikenal sebagai “ pengkhianat” di kalangan rakyat maka kita harus beringat, kita pernah dikhianati. Jangan biar pisang berbuah dua kali .
“Sekiranya MUDA diterima ke dalam PH maka mereka perlu ikhlas, menghormati rakan koalisi dan tidak “tergopoh gapah” dalam membuat keputusan bersama,” kata Fadzli dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, menurut beliau, tumpuan utama ketika ini harus diberikan kepada usaha memperkukuh “ukhwah” dan hubungan sesama rakan-rakan parti komponen yang ada terlebih dahulu bagi mempersiapkan PH menghapi Pilihan Raya Umum ke 15.
“Keutamaan dan agenda peduli rakyat serta anak muda adalah tonggak dan akar perjuangan.
“Walau bagaimanapun, kami di pihak AMK Pulau Pinang menzahirkan rasa syukur setelah MUDA sendiri mengakui dan mengiktiraf PH adalah pilihan gabungan yang terbaik dari rakyat kepada rakyat menjelang PRU15.
“Kami juga menaruh harapan tinggi terhadap kebijaksanaan pimpinan PH khususnya melalui Majlis Presiden dalam usaha untuk menentukan kata sepakat yang akan dicapai, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta negara di bumi bertuah ini,” kata Fadzli lagi.