Skandal kedua membabitkan pembinaan kapal untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) melibatkan kapal peronda luar pesisir (OPV) perlu ditangani melalui siasatan Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC).
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof.
Katanya, projek itu bukan sahaja menemui kelewatan menjangkaui had yang ditetapkan tetapi juga melibatkan unsur salahtadbir peruntukan RM738.9 juta wang negara.
“Saya sekali lagi menuntut PAC untuk melakukan siasatan ke atas projek OPV untuk APMM ini
“TH Heavy Engineering (THHE) Berhad yang diberi kontrak rundingan terus sebelum ini disyaratkan untuk melakukan usahasama dengan Destini Berhad atas 49:51 perkongsian.
“Tanpa kepakaran, THHE pada 2017 mendapat kontrak namun Destiny telah jualkan 51% sahamnya dalam THHE Destiny (syarikat usahasama) pada 2021.
“Saya dimaklumkan para vendor menuntut hutang tertunggak yang gagal dilunaskan menyebabkan semua urusan persiapan OPV tergendala termasuk dengan pembekal peralatan asli (OEM).
“Destini Shipbuilding pula disaman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana gagal membayar cukainya dan pada 15 September ini akan digulung tikar (winding up),” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, THHE telah dinyahsenaraikan dan kemungkinan akan dipaksa untuk gulung tikar atas beban hutang yang ditanggungnya.
Dakwa Mujahid, syarikat syarikat yang terlibat ketika ini semuanya dirundung masalah dan beliau bimbang keperluan keselamatan untuk melindungi perairan negara akan turut terjejas dengan kelewatan pembinaan OPV tersebut.
“Oleh itu, saya menuntut PAC menjalankan siasatan di atas berbagai tanda yang menunjukkan projek OPV bernilai RM739 juta ini ada unsur salahtadbir kewangan yang meragukan.
“Demi keselamatan perairan negara siasatan ini perlulah disegerakan,” katanya lagi.
Mujahid yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) yang pernah menjaga Tabung Haji amat bimbang dengan keadaan kewangan THHE yang pernah menjadi anak syarikat Tabung Haji dan khuatir projek pembinaan kapal tersebut akan terus mengalami kelewatan.
Beliau mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani ketirisan projek berkenaan dan membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan.