Dua minggu telah berlalu sejak laporan polis oleh Pengarah Strategi KEADILAN Akmal Nasir terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Juga telah seminggu berlalu sejak Akmal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes yang sama.
Persoalannya, kata Setiausaha Pengelola KEADILAN Malaysia, Zahir Hassan, apakah tindakan pihak berkuasa? Atau adakah siasatan telah dimulakan terhadap Dr Latiff dan individu bernama Zainab.
“Sudah lebih 2 minggu laporan polis dan sudah seminggu laporan SPRM digerakkan oleh saudara Akmal Nasir terhadap Dr Abd Latiff Ahmad.
“Latiff (ketika ini) cuma bersuara menafikan Zainab isteri beliau, tetapi masalah pokoknya adalah ketika kontrak ditandatangani, beliau yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan, apakah tidak mempunyai sebarang maklumat tentang kontrak LCS yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang mencurigakan?
“Tidak mahukah Latiff menawarkan diri membantu pihak berkuasa menjejaki Zainab ini yang mungkin sengaja mengaku menjadi isteri beliau demi mendapatkan kontrak tersebut?” tanyanya.
Sehubungan itu, tegas Zahir, sekiranya Dr Latiff berada di pihak yang benar beliau wajar segera muncul di depan khalayak dan lakukan penafian terbuka. Bukannya berdiam diri dan menimbulkan lebih banyak spekulasi ke atas diri beliau.
“Saya menggesa saudara Latiff berhenti membuat penafian demi penafian dan sepatutnya bersama-sama dalam usaha membongkar skandal yang memalukan negara ini. Berani jika benar,” katanya lagi.
Skandal LCS yang membabitkan Dr Latif telah hampir sebulan dibongkar dan majoriti rakyat mahu melihat tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Sekiranya PM Ismail tidak bertindak maka beliau boleh dianggap tidak ada bezanya dengan PM daripada Umno sebelum ini yang enggan bertindak terhadap kelompok elit yang korup.