Laporan media Sinchew kelmarin mendakwa sistem E-Penyata Gaji Kerajaan telah dibolosi oleh penjenayah siber yang mungkin telah mencuri satu juta set data peribadi serta dua juta slip gaji amat membimbangkan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, sekiranya dakwaan itu benar maka segala data peribadi penjawat awam yang berjumlah 1.2 orang dan ahli-ahli Jemaah Menteri telah dicuri dan bakal dijual oleh penjenayah siber.
“Insiden terkini adalah satu pencerobohan yang menjejaskan terhadap keselamatan peribadi bukan sahaja para penjawat awam malah juga pimpinan utama negara. Ia adalah satu krisis keselamatan siber negara yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
“Ini merupakan kecurian data berskala besar keempat yang dilaporkan bagi tahun 2022, dan dianggarkan lebih 25 juta set data peribadi dicuri sehingga kini untuk tahun ini sahaja.
“Oleh itu, saya menggesa Perdana Menteri mengambil perhatian serius atas isu ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat segala insiden kecurian data peribadi di Malaysia dalam lima tahun kebelakangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu juga mahu Perdana Menteri mengarahkan semua Kementerian dan agensi Kerajaan untuk segera melakukan audit keselamatan siber (cyber security audit) bagi mengenalpasti dan menutup segala kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia.
Selain, katanya Perdana Menteri perlu memberi penjelasan tentang perkara itu pada sidang Parlimen yang akan datang.
“Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi dan Multimedia pula perlu meneliti satu mekanisme denda atau hukuman yang lebih berat terhadap pengendali pangkalan data peribadi yang gagal menjamin keselamatan data dalam kendalian mereka, serta satu mekanisme pampasan atau ganti rugi bagi semua mangsa jenayah kecurian data peribadi.
“Ini bagi menghantar mesej yang amat jelas, mana-mana pihak yang mengendali data peribadi wajib dipertanggungjawabkan sekiranya keselamatan data tersebut terjejas dan mereka yang menjadi mangsa kecurian data wajib mendapat keadilan,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kecurian data peribadi melibatkan kerajaan amat serius apabila tiga dari empat insiden kecurian data peribadi pada tahun ini didakwa melibatkan agensi-agensi Kerajaan.
Katanya, kerajaan tidak boleh terus mengelak untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, termasuk dengan tidak mengecualikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri dari pemakaian akta tersebut.
Pindaan itu juga, ujarnya, mesti mengambil kira perkara-perkara utama yang disenaraikan di dalam Kertas Perundingan Awam No. 01/2020 yang diterbitkan pada 14 Februari 2020, dan semua pihak termasuk Pembangkang perlu dilibatkan sebelum pindaan dibentang di Parlimen pada Oktober ini.
“Data peribadi kita adalah aset dan khazanah negara. Ia mesti dilindungi sebaik mungkin,” kata Fahmi lagi.