Kenyataan pemimpin Umno yang ‘gila kuasa’ mahu meneruskan Pilihan Raya Umum (PRU) pada hujung 2022 meski pun ketika banjir melanda amat mengguris hati rakyat, terutama di kawasan yang dijangka menghadapi malapetaka.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Negeri Kelantan, Nor Azmiza Mamat, pihak Umno BN yang memerintah seharusnya lebih berperikemanusiaan dan mendalami amaran banjir yang diberikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bagi merancang PRU di luar musim tengkujuh.
Katanya, amaran banjir dan kesiapsiagaan operasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu menunjukkan negara akan menghadapi situasi yang mungkin sahaja seburuk banjir di Pantai Timur, Selangor dan Pahang sebelum ini.
“Seluruh agensi dan aset negara wajar ditumpukan sepenuhnya kepada persiapan jentera untuk menghadapi bencana banjir bagi mengelakkan isu kehilangan nyawa dan kerugian harta benda yang besar akibat kelemahan penyelarasan gerak kerja.
“Bencana banjir lalu yang banyak meragut nyawa kumpulan rentan, kesusahan memulakan kehidupan baru pasca bencana, masih lagi membekaskan trauma yang dalam kepada mangsa terutama kanak-kanak, wanita, warga emas
“Jadi mengapa para pemimpin BN ini seolah-olah mahu menikam semula luka lama mangsa banjir, hanya demi kerakusan kuasa dek pilihan raya?” tanyanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azmiza, kesiapsiagaan menghadapi banjir perlu diutamakan oleh pasukan keselamatan seperti polis. Tugas mereka tidak boleh ditambah beban untuk mengawasi kempen pilihan raya atau menjaga pusat mengundi
Perkara lain yang kurang penting seperti pilihan raya, katanya, boleh ditangguhkan ke tarikh lain kerana tempoh penggal kerajaan hanya akan berakhir pada Jun 2023.
“Kesiapsiagaan banjir ini juga melibatkan usaha maksima semua guru, agensi kerajaan setempat dan pemimpin komuniti.. Jadi usahlah ditambah lagi tugas di pundak mereka dengan urusan PRU yang sebenarnya boleh ditetapkan di luar musim banjir.
“Usah gadaikan nyawa rakyat dan sia-siakan kekuatan jentera negara semata-mata untuk memenuhi nafsu rakus para pemimpin BN terutama Umno.
“Jelas, desakan untuk percepatkan PRU ini hanyalah semata-mata mahu menyelamatkan beberapa figura daripada kes-kes di mahkamah yang semakin sampai ke penghujung,” katanya lagi.
Tegas beliau, sebagai pemimpin di peringkat komuniti, negeri dan negara, seharusnya Umno BN menumpukan usaha untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan bencana.
Keceluparan ucapan yang menyebut jika banjir pun masih diredah demi pilihan raya, kata Azmiza, hanya menunjukkan pemimpin BN tidak peduli kesusahan yang bakal menimpa rakyat.