Sebaik sahaja MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan Selangor akan mencairkan tanah milik Unisel seluas 500 ekar bagi mendapat modal RM30 juta untuk membantu pelajar Unisel yang dibekukan pinjaman PTPTN, Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin mengumumkan pembekuan tamat.
Episod itu memperlihatkan kegentaran BN negeri semaju Selangor yang mempunyai rizab tunai RM1.9 bilion akan mewujudkan konsep pendidikan tinggi percuma dalam masa terdekat. Kejayaan konsep itu pastinya menggali kubur BN yang bergantung kepada PTPTN dalam semua urusan pengajian tinggi dalam negara.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ekoran masalah yang dihadapi pelajar Unisel menyebabkan kerajaan negeri mencari sumber kewangan lain bagi membantu mereka.
“Hasil daripada pelbagai usaha kita sudah ada duit sebanyak RM30 juta bagi membantu pelajar selepas dinafikan hak mendapat pinjaman di bawah PTPTN.
“Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.
“Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel,” katanya pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Ketereh, sempena lawatan beliau ke Kelantan.
Sementara itu, Presiden Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Saifuddin Shafi Muhammad pula berkata, penarikan itu dipercayai ekoran kecemburuan Kerajaan Pusat terhadap pengumuman Menteri Besar Selangor akan membantu siswa meneruskan pengajian.
“AIC hairan bagaimana kerajaan yang menguruskan aspirasi rakyat dan pembinaan masa depan, bertindak dangkal dengan mengugut masa depan anak muda hanya kerana berbeza polisi dengan musuh politik.
“Seharusnya BN lebih ampuh untuk menegakkan dasar pendidikan mereka, bukan dengan membekukan pinjaman PTPTN dan membuat kenyataan dangkal malah tindakan itu adalah peluang Pakatan Rakyat melaksanakan pendidikan percuma,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin percaya zaman untuk menggunakan rakyat sebagai ‘tebusan’ politik telah berakhir.
“Saat ini AIC yakin lonjakan sokongan yang datang dari golongan atas pagar terhadap ketelusan Pakatan Rakyat telah meningkat pada satu tahap yang membanggakan. Riwayat pemerintah zalim bakal berakhir atas satu kesilapan yang mereka sengajakan,” katanya lagi.