Revolusi di beberapa negara Asia Barat telah berlarutan selama dua bulan. Satu demi satu negara pemerintahan autokratik tumbang bermula dengan revolusi jasmine di Tunisia, revolusi facebook di Mesir dan kini merebak hingga ke Libya, Yemen dan Bahrain.
Semua berpunca dari kurangnya hak kebebasan bersuara yang diberi pemerintah kepada rakyat, gejala korupsi dan kesewenangan pemerintah menahan rakyat menggunakan polis rahsia. Facebook dan twitter hanya menjadi medium penyampai maklumat sahaja. Di Bahrain kebangkitan agak unit kerana melibatkan isu diskriminasi puak. Masyarakat berketurunan Syiah tidak diberi keutamaan dalam pentadbiran kerajaan beraja Sunni Hamad bin Isa al Khalifa.
“Rakyat Bahrain berjumlah 1.2 juta, 70 peratus adalah syiah. Ekonomi pulau itu sejak merdeka telah Berjaya berkembang dari pusat (perdagangan) mutiara kepada pusat kewangan selepas kejatuhan Lebenon . Rakyatnya berpendidikan tinggi. Cuma berlaku diskriminasi; biasiswa, kerja, jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan dan tentera ditutup kepada orang syiah. (Sepatutnya) tidak boleh buat rakyat menjadi kelas kedua,” ulas pensyarah Syed Razak Alsagoff dalam satu temubual di stesen televisyen.
Bahrain mencipta satu kebangkitan yang perlu dikaji secara serius kerana taraf hidup rakyat yang tinggi. Jika di Mesir, Tunisia, Yemen dan sebagainya kemiskinan menjadi punca, namun rakyat Bahrain mempunyai pendapatan per kapita yang baik. Malah lebih baik daripada rakyat Malaysia. Begitu juga pendidikan, antara yang terbaik di dunia Arab. Kemudahan asas juga baik dan ekonomi yang membangun. Sepatutnya kebangkitan rakyat lebih kepada protes secara pilihan raya bukannya berkubu di jalan raya atau di Dataran Mutiara, sebagaimana kebangkitan versi Mesir.
Mungkin pemerintah Malaysia perlu belajar dari negara kecil ini, bukan kemajuan material dan konsep 1Malaysia sahaja yang perlu ada tetapi praktiknya perlulah tidak mendiskriminasikan rakyat berbilang kaum dalam lantikan jawatan kerajaan mahu pun peluang ekonomi. Bahrain sebagai bukti, bukan kerana faktor raja lama berkuasa tetapi kerana raja berkuasa secara tidak adil.
“Lama atau singkat tidak menjadi masalah. Kalau raja naik takhta umur 20 tahun sampai 80 tahun, selagi raja adil, saksama, tidak curi duit rakyat, ada institusi rakyat boleh mengadu hal, polis yang baik, kehakiman baik, agensi anti-korupsi berjalan lancar maka pemerintahan boleh bertahan lama,” sambung Syed Razak.
Sememangnya kesaksamaan, anti korupsi dan kehakiman yang baik amat jarang diutamakan di negara-negara Islam. Biar pun Islam mengajarkan umatnya agar menjadi yang terbaik di kalangan manusia. Revolusi yang berlaku di Asia barat sepatutnya membuka mata semua kerajaan Islam di seluruh dunia. Di mana rakyat yang sangat patuh tidak pernah berani mengkritik kerajaan tiba-tiba meletup, bangkit secara gelombang menggulingkan pemerintah.
Apa yang berlaku di Asia Barat tidak pernah berlaku di bahagian dunia lain kecuali di Eropah Timur pada awal 1990an yang mana satu demi satu negara blok komunis tumbang dalam masa 5 bulan sebelum superpower komunis Soviet Union tersungkur pada 1991. Semua itu berlaku kerana rakyat benci sekatan ke atas kebebasan bersuara, penindasan hak asasi rakyat dan penindasan polis rahsia yang melampau. Malangnya negara-negara autokratik Asia Barat tidak mahu belajar sehinggalah 20 tahun kemudian mereka pula dihukum oleh rakyat sendiri.
“Bila seorang telah buka pandora box (kotak ajaib) mereka (rakyat yang lain) sudah berani. Jadi rakyat satu negara telah tunjukkan mereka berani mati. Presiden yang berkuasa dan tentera yang begitu kuat boleh tumbang dengan 500 ribu orang menunjuk perasaan. Perkara ini akan terus berlaku dan berlaku selagi ada kerajaan autokratik yang tidak amanah dalam mentadbir,” kata Syed Razak lagi.
Revolusi Asia Barat diramal akan terus merebak dalam beberapa bulan akan datang. Terkini Presdien Muammar Gadafi di Libya hampir tumbang apabila bandar-bandar besarnya telah dikuasai penunjuk perasaan dan ramai tentera berpaling tadah. Duta-duta di luar negara seperti di China, PBB, Malaysia, Bangladesh, Perabchis dan banyak lagi telah meletak jawatan dan mengecam pemerintahan kuku besi Gadafi yang membunuh rakyat sendiri. Semalam Menteri Dalam Negeri Libya telah berpaling tadah menyokong tunjuk perasaan rakyat. Separuh dari menteri kabinet Gadafi meletak jawatan. Bagaimanapun Gadafi masih enggan berundur.
Pemerintah Malaysia jangan terlalu berbangga dengan sokongan rakyat melalui pelbagai slogan. Mereka perlu melihat ke akar umbi dan ketidak-puasan hati rakyat terbanyak. Amat menggentarkan apabila rekod hak asasi manusia, indeks korupsi, kebebasan media dan hubungan antara kaum di Malaysia diletakkan di kedudukan sama atau lebih buruk berbanding negara yang sedang tercetusnya revolusi rakyat. Jika pemimpin Malaysia tidak mengambil pengajaran, malah cuba pula menyekat kebebasan internet, dikhuatiri ia akan menghantar isyarat yang salah kepada rakyat dan tidak mustahil bantahan yang serupa seperti di Asia Barat akan berjangkit ke negara ini.