Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang didesak oleh pemimpin dan Menteri Umno untuk diadakan pada musim tengkujuh yang mana diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia akan berlaku banjir besar perlu ditentang habis habisan oleh rakyat yang prihatin.
Bagi Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, tekanan daripada elit Umno perlu ditentang untuk menolak hal terburuk berlaku sekiranya rakyat dipaksa mengundi dalam situasi banjir.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari Umno untuk mengadakan PRU 15 secepat mungkin. Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.
“Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini. Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk.
“Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi mendabik dada Umno sanggup meredah banjir demi PRU15 lebih awal.
Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil. Isunya bukan soal parti-parti politik gah berkempen ketika menghadapi banjir.
“Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguh atau dielakkan, wajar ditangguhkan dahulu,” katanya.
Tambah Rafizi lagi, PRU pada musim banjir memerlukan kos tambahan. Kos pengendalian PRU akan bertambah daripada peruntukan asal RM1 bilion kerana banyak pusat mengundi yang dinaiki air dan logistik yang lebih besar diperlukan.
“Dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana. Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.
“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.
“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran,” katanya lagi.
Rakyat prihatin yang ingin menyertai petisyen menolak PRU 15 di musim banjir boleh melakukannya di pautan berikut: bit.ly/TumpuBanjir