Negeri negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing masing sekiranya Parlimen dibubarkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.
Hal itu, menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipersetujui oleh Menteri menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, petang ini.
“Mesyuarat kita ini dihadiri oleh MB Negeri Sembilan, MB Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menghubungi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tentang pendirian mereka. Andai kata parlimen dibubarkan, keputusan ketiga tiga negeri adalah menumpukan perhatian menangani mangsa banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.
“Oleh yang demikian mereka tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir. Mereka ada ruang menetapkan selepas itu.
“Mereka tidak akan bersama Kerajaan Persekutuan andainya PRU diadakan semasa banjir kerana pada anggapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, tidak harus tambah penderitaan dan penderaan terhadap rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir,” kata Anwar selepas membentangkan Dokumen Strategi Belanjawan Pakatan Harapan 2023 di bangunan Parlimen, petang tadi.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengumumkan bahawa mesyuarat Majlis Presiden telah bersetuju untuk menangguhkan penggunaan logo baharu PH sehingga selepas PRU ke 15.
Katanya, logo sedia ada akan terus digunakan pada sepanjang tempoh kempen dan hari mengundi kali ini
“Majlis Presiden sukacita saya umumkan bersetuju menggunakan logo baru. Walau bagaimanapun memandang PRU sudah dekat, sama ada sekitar 1 – 2 bulan ini, maka keputusan kita setuju logo baru tetapi memandangkan keadaan mendesak maka akan mengekalkan logo lama untuk PRU (ke 15) akan datang.
“Soal logo tidak perlu dibincangkan lagi,” katanya.
Mengenai tarikh PRU yang didesak oleh pemimpin Umno untuk dilakukan dalam waktu banjir, Anwar menempelaknya dan menegaskan bahawa hanya segelintir kecil kluster mahkamah yang mahukan pilihan raya tetapi majoriti pemimpin semua parti mahu menumpukan isu pengurusan banjir.
“Semua pimpinan parti besar menyatakan tumpu banjir. Yang nak tumpu mahkamah dan PRU ini hanya kelompok kecil.
“Kita berharap Yang di-Pertuan Agong mengambil kira bahawa majoriti besar Ahli Parlimen menganggap tindakan menangani masalah banjir, selamatkan rakyat harus diutamakan,” katanya.
Bagi kemungkinan PH perlu berunding dengan koalisi lain untuk membentuk kerajaan, Anwar menolaknya kerana PH berpendapat akan menang cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu selepas PRU 15.