Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Kerajaan BN dilihat hanya memanfaatkan syarikat besar yang jumlahnya sekitar 5% daripada kelompok perniagaan di negara ini.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sedangkan 90% perniagaan di Malaysia berupa Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang merupakan majikan terbesar rakyat tidak pula dibela secara bersungguh sungguh.
Ulasnya, perbelanjaan pembangunan lebih RM90 bilion yang dicadangkan itu hanya boleh diraih melalui tender dan projek yang dinikmati syarikat besar yang rapat dengan pemerintah.
“Belanja pembangunan RM90 bilion itu lebih kepada polisi memberikan komitmen kepada golongan atasan, kerana itu peruntukan besar sasaran kepada kelompok ini. Polisi ini sudah lama berlangsung. Sepatutnya kerajaan beralih kepada SME.
“90% syarikat berdaftar di negara kita ialah SME. 5% sahaja syarikat besar. Dengan perbelanjaan RM90 bilion, kumpulan inilah yang mendapat manfaat besar,” katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu juga mempertikaikan mengenai jumlah hasil yang memungkinkan perbelanjaan pembangunan sebesar RM90 bilion tersebut kerana bajet pengurusan kerajaan seperti pembayaran gaji, pencen, hutang dan subsidi sudah sedemikian besar.
“Jumlah ini (RM90 bilion) sangat besar dan menimbulkan persoalan apakah sasaran kutipan hasil kerajaan realistik? Dari manakah hasil baru yang boleh menjana pendapatan?
“Dengan anggaran hasil begitu besar dan komitmen pembangunan dan pengurusan juga besar, kerajaan dilihat berura ura untuk kembali melaksakana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.
Beliau juga kesal kerana belanjawan tersebut digunakan sebagai gula gula pilihan raya apabila 30 minit awal Menteri Kewangan hanya membacakan apa yang akan diperoleh oleh rakyat dan bersifat populis.
“Bajet dibentang, latar belakangnya akan masuk PRU. Bajet itu mengandungi pelbagai bentuk habuan dan itu yang diumumkan 30 minit pertama.
“Tumpuan apakah kerajaan bercadang beri kepada rakyat dari segenap lapisan kelompok. Janjikan sumbangan kepada segmen rakyat B40, M40 dan sebagainya,” katanya.
Namun menurut Saifuddin lagi, kesungguhan yang amat diperlukan iaitu melawan rasuah tidak pula ditunjukkan oleh Menteri Kewangan yang menyebabkan umum tidak yakin peruntukan kali ini tidak akan tiris di tengah jalan.