Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dipaksakan kepada rakyat akan diadakan pada musim tengkujuh tahun ini.
Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan membubarkan Parlimen berlatarbelakangkan musim banjir bertentangan dengan kebijaksanaan yang ditonjolkan Yang di-Pertuan Agong, nasihat dan unjuran yang dibuat peramal kaji cuaca serta keluhan yang disuarakan ribuan rakyat Malaysia.
Tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) tidak gentar menghadapi PRU tetapi yang menjadi pertaruhan adalah keselamatan dan kehidupan rakyat
“PH bersedia untuk menghadapi PRU 15. Kami telah bersedia untuk berhadapan dengan gerombolan yang telah mencurangi mandat PRU lalu.
“Kami juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.
“Saya menerima sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenan Parlimen dibubarkan kerana Baginda bertindak berdasarkan peruntukan kuasa yang ada seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, yang dipersoalkan adalah niat pihak yang berkepentingan yang begitu gelojoh yang mahukan pilihan raya diadakan pada saat sekarang,” katanya dalam perutusan khas malam tadi.
Pengerusi PH itu juga menyifatkan PRU pada musim banjir merupakan suatu penghinaan kepada lebih 20 juta pengundi dalam waktu kenaikan harga barang, gaji yang rendah, peluang pekerjaan tidak cukup untuk para siswazah, kualiti pendidikan rendah, akses kepada kesihatan bermasalah, simpanan tidak munasabah usia persaraan dan sebahagian mereka pula bakal meredah banjir ke tempat membuang undi.
“Musim banjir telah pun bermula tatkala sebahagian kawasan di Sabah, di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang telah ditenggelami air. Sebahagian kawasan sungai Muar berdekatan Kuala Pilah telah melimpah dan menjejaskan dua kampung dan kawasan sekitar. Di Baling pula lapan sungai telah melepasi paras bahaya. Pakar cuaca juga menjangkakan hujan lebat akan berterusan.
“Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini?
“Usah kita diperdaya dengan kerajaan yang hanya utamakan kepentingan mereka yang kononnya bagi memulangkan mandat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Anwar memang mandat perlu dipulangkan selepas pengkhianatan Langkah Sheraton yang lalu tetapi PRU yang diadakan dalam keadaan rakyat terdesak hampir sama keadaannya dengan penipuan atau usaha menghalang pengundi dari melaksanakan tanggungjawab mereka.
Jelas Anwar, kerajaan BN – PN sebelum ini telah gagal mengemudi negara saat serangan wabak Covid-19 dan mengelak dari melakukan tanggungjawabnya di Parlimen.
Kerajaan sama menyebabkan pilihan raya berlaku di Sabah mengakibatkan wabak Covid-19 mengganas di seluruh Malaysia dan 35,000 rakyat terkorban.
“Kerajaan ini juga yang mengumumkan darurat bagi menggantung fungsi dan peranan Parlimen dari berdepan di Parlimen. Kerajaan yang sama juga bohong kepada rakyat dan negara terkait aplikasi MySejahtera dan skandal Digital Nasional Berhad.
“Kerajaan ini juga berdusta berkenaan 1MDB. Ternyata kerajaan ini menipu tentang pemerolehan Kapal Tempur Pesisir dan juga mengenai membendung kemiskinan dan akses kepada pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Maka, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, tibalah masanya rakyat membetulkan kembali keadaan dengan menumbangkan BN dan PN dalam PRU 15.
“Tiba masanya untuk kita merampas semula negara ini dari kerakusan perompak dan penindas, serta dari gerombolan yang sibuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka, manakala rakyat di bawah terus menderita menanggung kos sara hidup yang terus membengkak.
“Kepada anak-anak muda yang akan mengundi kelak, saya tekankan bahawa pilihan pada pilihan raya yang akan datang akan memberi kesan yang besar kepada masa depan rakyat dan negara.
“Kita perlu buat sehabis baik dalam memastikan negara ini mendepani permasalahan yang mendesak saat ini, yakni kos sara hidup yang tinggi, akses kepada pendidikan yang berkualiti, mengembalikan keyakinan kepada ekonomi kita serta memastikan pelaburan yang setara buat Malaysia.
“Kita pastinya akan buat yang terbaik dalam melindungi alam sekitar dan mempersiap negara dalam memampan dampak kemelut iklim dan alam sekitar,” katanya lagi.
Justeru, Anwar menyeru kepada rakyat Malaysia bahawa tiada pilihan lain di tangan mereka kecuali mengganti pemerintah negara dengan yang lebih baik.
Malaysia mesti bangkit daripada kemunduran yang dicipta lewat isu kleptokrasi, salah tadbir urus, kepada kerajaan yang mampu mengembalikan negara berada pada kedudukan selayaknya.