Pembubaran parlimen di tengah tengah musim tengkujuh adalah penderaan terkini yang disediakan oleh Kerajaan BN – PN kepada rakyat Malaysia.
Menurut Setiausaha KEADILAN Cabang Ampang, Aidi Amin, sejak tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 lalu pelbagai deraan telah dikenakan oleh BN – PN terhadap rakyat Malaysia, dan penghujung riwayat kerajaan itu juga ditutup dengan penderaan.
“Apa lagi kerajaan mahu dari kami? Hendak sangat jadi kerajaan sebelum ini hingga sanggup bermutaah lepas kejatuhan PH, namun membelakangkan janji kepada rakan sekomplot.
“Tindak-tanduk mereka seolah-olah mempersenda sistem demokrasi berpelembagaan dan terus cuba memperbodohkan rakyat dengan justifikasi #undibanjir itu lebih afdal daripada memelihara kebajikan rakyat tatkala musim tengkujuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aidi lagi, Belanjawan 2023 sepatutnya diluluskan terlebih dahulu sebelum parlimen dibubarkan dan bukannya dibiarkan tergantung.
Katanya, bajet tergantung akan diubahsuai pula selepas PRU dan ‘gula gula’ pilihan raya mungkin ditarik balik.
Tambah beliau, agak mustahil PRU diadakan kerana Perdana Menteri (PM) tertekan dengan nilai ringgit jatuh atau merudumnya kedudukan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia suatu ketika dahulu.
Apa yang jelas, ujarnya, kegagalan kerajaan BN – PN telah berlaku sejak era Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM lagi.
“Kegagalan kerajaan diakui sejak Muhyiddin Yassin menjadi PM ke-8 lagi. Parlimen digantung atas alasan pandemik meletakkan negara kita sebagai satu jenaka di persada antarabangsa.
“Malah simptom sakit cirit juga secara rasminya diterima pakai sebagai alasan ketidakhadiran kerja. PM Ismail Sabri mungkin lebih perform dari segi gaya busana dan cogan kata Keluarga Malaysia yang memupuk sedikit perasaan kepedulian kerajaan buat seketika.
“Tapi itulah politik, apa kita lihat mungkin indah tapi di sebalik tabir semua sibuk sakau duit negara,” katanya.
Bagi rakyat pula, kata Aidi, semboyan telah dibunyikan pada 10 Oktober lalu. PRU terpaksa telah diisytiharkan dan inilah peluang untuk mereka melawan balik penindasan yang dilakukan BN – PN sepanjang sepenggal lalu.
“Semboyan dah dibunyikan jadi apa yang kita mampu lakukan adalah menggembeleng segala kekuatan dalam memastikan kita adalah survivor yang tidak kurang hebat.
“Jika rakyat Malaysia berjaya menempuh kekalutan pengurusan kerajaan Perikatan Nasional ketika wabak Covid melanda negara kita, semangat persaudaraan antara kita lebih utuh dari propaganda kerajaan.
“Justeru, pastikan mobilisasi pengundi menghampiri 100% pada hari mengundi agar kita semua dapat mengakhiri episod gelap ini, sebagaimana Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan,” katanya lagi.