Calon calon KEADILAN yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 19 Oktober 2022.
Hal itu ditegaskan oleh Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Rafizi Ramli.
“KEADILAN telah menetapkan garis masa ke arah memuktamadkan calon-calon untuk PRU-15 menjelang mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi,” kata Rafizi dalam kenyataan petang ini.
Sementara itu, katanya, proses pemilihan calon pula dibuat dengan kaedah paling demokratik dengan mengambil kira pelbagai pemberat termasuk populariti calon di media sosial.
“Pemilihan calon adalah lebih demokratik dengan melibatkan semua peringkat dalam dan luar parti untuk memastikan pandangan seberapa banyak pihak seperti pengundi, pimpinan akar umbi dan pimpinan pusat diambil kira
“Senarai pendek calon ditentukan bersama oleh satu Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, senarai calon calon tersebut akan diserahkan kepada Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan setelah melalui proses saringan dan penilaian yang rapi.
Selain itu, beliau juga memberitahu ribuan rakyat Malaysia telah tampil menyatakan minat untuk menjadi calon. Jumlah pendaftaran di laman www.calonkeadilan.org setakat jam 10 pagi hari ini mencecah 1,673 calon.
“Sekretariat Calon kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi mula dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada malam ini.
“Saya berpendapat tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan.
“Ini menjadi salah satu niche yang akan diberi tumpuan oleh KEADILAN untuk membezakan kami dari parti-parti dari BN dan PN,” katanya lagi.