KEADILAN tidak berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, laporan berita yang tersebar luas menggambarkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka kerjasama kepada dua gabungan berkenaan adalah tidak tepat.
“Saya meneliti beberapa laporan media yang membayangkan bahawa Presiden KEADILAN dan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar, bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan GTA atau PN.
“Ini tidak benar. Pendirian KEADILAN dan PH amat jelas, iaitu fokus utama kami adalah untuk memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan
Beliau berkata, jawapan Presiden KEADILAN itu konsisten dengan pendirian PH selama ini yang menawarkan kerjasama kepada pihak yang melawan rasuah, menolak perkauman dan mengutamakan tadbir urus baik.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRU15 tidak hanya tertumpu kepada usaha menumbangkan Umno-BN tetapi mesti berteraskan prinsip-prinsip agenda reformasi, tatakelola yang baik, dan melawan rasuah.
“Oleh itu, KEADILAN tiada hasrat untuk mengadakan perbincangan kerjasama pilihan raya dengan GTA dan PN,” kata Pengarah Komunikasi PH itu lagi.
Dalam sidang media semalam, media salah tanggap terhadap jawapan Anwar yang sedia membuka kerjasama. Beberapa media tidak menumpukan syarat yang ditetapkan, pihak yang mahu bekerjasama mestilah menerima dasar dasar utama PH.
Dalam jawapannya, jelas Anwar menyebut prinsip utama PH seperti membanteras rasuah, menolak politik perkauman dan tadbir urus yang baik tidak boleh ditolak ansur.
“”‘Come together’ itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa? Ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.
“Ada kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan dasar perkauman atau fanatik agama, itu prinsip utama dan kalau bersetuju silakan,” kata Anwar petang tadi.