Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama, Datuk Illani Isahak, meninggal dunia hari ini akibat barah payu dara yang dialaminya sejak lima tahun lepas. Allahyarham sebelum ini adalah antara pengasas Parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dan pernah mewakili Parlimen Kota Bharu selama 2 penggal.
Illani, 58, meninggaldunia pada 6 pagi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, kata Setiausaha Kerja Wanita Umno, Noor Haiza Mariena Mat Ramli.Jenazahnya kemudian dibawa ke kediamannya di Taman Tun Dr Ismail.
Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Taqwa di Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zohor.
Illani, yang merupakan kelahiran Kelantan, meninggalkan suami Adam Camille Rustum Mohd Ibrahim, serta tiga anak lelaki dan seorang perempuan.
Aktif dalam politik melalui Umno sama ada peringkat di negeri dan pusat serta pernah menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa Wanita Umno Malaysia pada tahun 2004 selepas menyertai Umno semula kerana S46 dibubarkan.