Malaysia perlu dibina di atas landasan demokrasi yang matang dan calon calon pilihan raya perlu berdebat berkenaan dasar yang akan dibawa dalam pemerintah sekiranya terpilih sebagai Perdana Menteri (PM) atau kerajaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Mentakab Pahang, malam tadi.
“Kalau betul calon PM ada 3, Ismail, Muhyiddin, Anwar. Saya tak tahu Zahid masuk tidak?
“Kalau betul biar kita bahas bersama. Ada perdebatan, dasar ekonomi, kestabilan politik, apa sahaja tajuk silakan supaya rakyat boleh menilai,” katanya.
Kata beliau, rakyat perlu tahu apakah dasar yang akan dibawa untuk menjaga kebajikan mereka 5 tahun ke hadapan.
Kalau tidak, katanya segalanya akan berulang. Nilai matawang jatuh kerajaan berdiam diri. Harga barang tidak terkawal, kerajaan tidak hiraukan rakyat.
“Negara ini kaya tetapi diurus dengan cara paling lemah. Ringgit merudum dia kata sebab antarabangsa. Pimpinan mesti pegang tanggungajwab. Saya 8 tahun Menteri Kewangan, tak kan tak tahu apa perkembangan berlaku.
“Harga barang masa Pakatan Harapan (PH) jaga 22 bulan lebih rendah daripada sekarang. Tapi (yang mereka tahu) kencing, hancing.
“Semalam saya tanya Menteri Dalam Negeri mengapa boleh agen risikan Israel guna orang (Malaysia) dan gugat keselamatan kita. Dia mesti jawab soalan ini. Apa dia kata, kita agen Israel,” katanya.
Pengerusi PH itu juga mahu rakyat Pahang menjadi lebih cerdik. Oleh kerana negeri itu kubu kuat Umno maka, katanya dalam pilihan raya BN pasti akan memberi gula gula kepada pengundi.
Justeru beliau berpendapat tidak salah ambil wang atau hadiah daripada BN atau PN, tetapi rakyat perlu mengundi untuk perubahan.
“Rakyat ada harga diri, kita tak mahu jual maruah semata mata RM200. Dia bagi payung ambil, dia bagi baju ambil, kalau ada di kalangan penduduk Mentakab bekerja untuk PH, kalau rasa lapar tak ada salah masuk bilik gerakan BN – PN dan makan. Jangan lupa cakap terima kasih. Keluar tukar baju BN itu
“Kalau bagi pakaian, pakai masa nak makan atau tidur. Masa lain pakai baju Harapan. Bila rakyat cerdik orang jahat tidak akan berjaya memenangi hati rakyat.
“Bila rakyat sedar, tidak ada kuasa boleh mengalahkan mereka. Kita nak ada kesedaran dan kebangkitan rakyat,” katanya.
Beliau juga mempertikaikan, Pas yang mendapat tempat tersendiri dalam kalangan pengundi Pahang.
Katanya Pas hanya memperjuangkan slogan Islam, bukan Islam sebenar kerana parti itu toleran terhadap rasuah dan penyelewengan yang dilakukan Umno.
“Ada komitmen Pas mahu betulkan isu LCS, 1MDB? Pas sendiri sebut 1MDB tak salah. Saya bukan nak gaduh dengan mereka. Saya nak rakyat sedar.
“Antara benar dan palsu mesti ada pendirian. Bukan slogan Islam. Semua orang boleh cakap slogan Islam. Kita tengok pada amalnya. Tengok Menteri Pas-Bersatu, soal harga barang, mutu pendidikan, kesihatan,” katanya lagi.