Pemilihan kerusi parlimen Tambun untuk ditandingi oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bukan dibuat secara semberono tetapi setelah memikirkan strategi bagi menambah sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika ikut suara hati, beliau lebih suka bertanding di kerusi Gombak atau Ampang yang jelas Ahli Parlimennya telah mengkhianati mandat rakyat.
Hal itu disampaikan beliau dalam ceramah penghargaan di Port Dickson, malam tadi.
“Hari ini saya datang sampaikan sendiri ucapan penghargaan, terima kasih, terhutang budi dengan rakan di Port Dickson.
“Kalau dah sayang tinggal buat apa? Tinggal kerana kawasan ini kawasan kuat, tugas kita nak tawan negara. Nurul Izzah kata baliklah Permatang Pauh. Saya kata Permatang Pauh ok. Atau kawasan pengkhianat Gombak , Ampang, tetapi itu kawasan kubu kita.
“Saya kalau ikut geram nak pergi kawasan khianat bagi terajang. Rakyat yang undi susah payah, kamu bila naik kira nak mentekedarah nak jawatan, menteri.
“Tetapi tempat ini dah kubu kuat. Jadi fikir Perak, kita bukan kuat mana, Tambun pula, Peja. Dia kata Anwar nak datang Perak dia tak tau beza ‘ayaq’ dengan ‘ayor’.
“Ini level politik Menteri. Beritahu dia, saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar 7 tahun, di Perak la. Kome tak tahu ke?
“Lepas itu masuk pula Kamunting (tahanan ISA) 2 tahun. 9 tahun di Perak, kome tak bace ke?
“Tetapi saya nak masuk sana bukan nak berhujah dengan dia. Saya nak bezakan Anwar yang diamanahkan nak jaga negara,” katanya.
Presiden KEADILAN itu mengingatkan rakyat agar memilih wakil rakyat yang berani bersuara mempertahankan hak mereka sebagaimana yang dilakukannya di Port Dickson apabila pihak hotel ingin menambah bangunan menyebabkan perkampungan nelayan terjejas.
Katanya, beliau berusaha bagi mendapatkan pampasan berupa bangtuan dari pihak syarikat kepada penduduk.
“Itu menunjukkan kita ada ketegasan. Kita guna pegaruh untuk beritahu pada dia, aku nak guna kuasa jaga orang susah, nelayan tak ada suara. Saya bergaduh dengan kerajaan hal itu. Kekuatan dari mana, kekuatan dari rakyat.
“Pindah mengapa? Kerana kita nak tawan kawasan lain. Dulu Tambun bukan PH, tak dimenangi oleh kita. Dikuasai oleh Bersatu. Kalau kita tawan, itu ada nilai tambah. Bila cukup kerusi, bawa kepada Agong, tolong selesaikan (bentuk kerajaan). Itu tujuannya,” kata Anwar.
Bagaimanapun beliau tidak menganggap mudah cabaran di Tambun dengan pengundi Melayu 60% dan kawasan yang luas.
Untuk itu, Anwar menyeru agar rakyat pada PRU 15 berubah dan mengundi wakil rakyat yang boleh bersuara untuk mereka.