Tawaran BN untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) 2 dari Sabah pernah ditawarkan oleh Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun PR telah tiada namun dasar TPM 2 dari Malaysia Timur diteruskan sekiranya PH menang Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
“Sejak zaman dulu, Pakatan Rakyat ialah satu TPM Semenanjung, satu Sabah dan Sarawak. Tetapi yang lain kalau ada perubahan kita akan bincang,” katanya kepada wartawan selepas majlis bertemu pimpinan dan masyarakat serta jentera HARAPAN di sabah.
Mengulas mengenai kerusi yang akan dipertandingkan PH di Sabah, Anwar berkata gabungan itu akan bertading kesemua kerusi parlimen.
Berkenaan calon pula, katanya, akan dipilih dari kalangan yang mempunyai rekod bersih dan berwibawa.
“Calon kita umumkan 28 Oktober. Kemudian saya kata isu di Sabah ialah dasar yang boleh membantu rakyat keselurahnnya. Ini pilihan raya parlimen, jadi pimpinan nasional.
“Walaupun isu Sabah diangkat (oleh wakil rakyat) tetapi selama kali ini terlalu kurang tuntutannya. Kedua, syaratnya pimpinan di Sabah mesti tunjukkan rekod mereka yang tidak mengambil kepentingan termasuk balak dan kontrak,” katanya.
Anwar yakin rakyat Sabah akan berubah kerana mereka telah mencuba kerajaan BN dan PN tetapi kesannya tidaklah lebih baik daripada kerajaan PH.
“Dari tinjauan kita, keupayaan kita itu meningkat. Kerana orang melihat (mencari) alternatif sekarang. Kita dah cuba BN dan PN. Rasuah sama juga. Cuma menterinya ramai, penasihat PM ramai, duta khas ramai. Kesan kepada rakyat tidak meningkat,” katanya lagi.