Tindakan tergesa gesa Umno-BN mengadakan Pilhan Raya Umum (PRU) ke 15 dalam musim tengkujuh kerana menjangkakan mereka akan menang besar mungkin akan bertukar sebaliknya pada 19 November ini.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berdasarkan tinjauan pendapat terbaharu, keadaan sebulan sebelum PRU kali ini hampir sama seperti tinjuan yang dibuat dalam sebulan terakhir sebelum PRU 14 lalu.
Katanya, jika Umno yakin selepas menang besar di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor mereka akan menang PRU maka keadaan samalah sebagaimana mereka dahulu yakin menang PRU 14 selepas menang Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.
“Keadaan yang ada sekarang mirip 2018. Kenapa saya kata mereka boleh berangan (sahaja) dan perkara itu tak kan berlaku? Sebabnya sebahagian besar pengundi apabila ditanya (kajian sokongan) adakah anda berpuas hati dengan ekonomi sekarang, harga barang, gaji, peluang pekerjaan.
“Keadaannya (jawapan) lebih teruk daripada sentimen rakyat berbading 2018. Dulu bila kita tanya adakah kamu berpuas hati? 60% kata tak puas hati. Tanya adakah puas hati prestasi Kerajaan Persekutuan, 50% puas hati
“Angka terbaru pagi tadi, sekarang tanya bagaimana ekonomi harian kamu? 78% rakyat kata mereka tak puas hati. Prestasi Kerajaan Persekutuan, 63% rakyat tak puas hati.
“Oleh itu kalau Umno BN yakin boleh menang beesar maka tak ada bukti mereka boleh menang dan bentuk kerajaan macam Zahid Hamidi cakap,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Sungai Besar, Selangor, malam tadi.
Kata Rafizi, perubahan mood rakyat itu bukanlah menunjukkan Pakatan Harapan (PH) kali ini begitu kuat, malah ianya tidak banyak bersangkut paut dengan PH.
Hujahnya, angka ketidakpuasan hati rakyat itu berakibat keadaan kehidupan yang tidak berubah, malah lebih teruk daripada 4 tahun lalu.
“Isunya ialah keadaan tak berubah. Malah makin teruk. Kalau tanya kalangan pengundi muda 18 – 24 tahun, soalan paling penting, adakah puas hati keadaan ekonomi sekarang? Adakah tahun depan keadaan lebih baik dari tahun ini? Kalau rakyat biasa menjawab tak puas hati, yang muda angkanya lebih tinggi, sekitar 84%.
“Kalau tengok semua PRU lepas, dalam keadaan begini yang mana rakyat tak puas hati, maka rekod PRU lepas boleh berulang. Pengundi akan buang undi protes terhadap kerajaan sedia ada,” katanya lagi.
Justeru, Rafizi mahu pendukung PH berkerja kuat untuk keluarkan pengundi muda dan yakinkan mereka bahawa peluang lakukan perubahan kali ini terbuka luas bagi mereka, dan ia akan menentukan nasib mereka untuk 5 tahun akan datang.