Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya peka dengan keperluan pelajar untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kali ini memandangkan usia dibenar mengundi telah turun ke 18 tahun.
Hal itu disuarakan oleh gabungan Mahasiswa HARAPAN Negara yang berkata tarikh peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) pada 19 November belum ditunda, dan akan memberi kesan kepada pelajar yang mungkin tidak dapat membuang undi.
“Kami menggesa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk segera membuat keputusan terhadap peperiksaan MUET yang bakal berlangsung bagi memudahkan pelajar merancang perjalanan untuk pulang mengundi
“Kelewatan membuat keputusan akan menyukarkan urusan pelajar kerana terdapat pelajar mengambil peperiksaan berdekatan dengan institut pengajian mereka, dan jauh dari kediaman masing masing. Sungguh pun tarikh peperiksaan ini telah lama dirancang namun perkara seperti pilihan raya adalah lebih penting untuk didahulukan kerana ia merupakan tanggungjawab sivil warganegara,” kata mereka dalam kenyataan media.
Mahasiswa HARAPAN turut kesal dengan tindakan MPM melengah lengahkan dan membuat keputusan di saat akhir.
Hal itu kata mereka lagi, akan menghalang proses demokrasi untuk berlangsung dengan baik.
“MPM perlu sedar bagi menjalankan pilihan raya ramai guru guru akan bertugas sebagai petugas pilihan raya dan sekolah sekolah akan digunapakai sebagai pusat mengundi
“Kami yakin keputusan sudah ada namun sila percepatkan pengumuman untuk memaklumkan kepada pelajar agar mereka dapat membuat persiapan,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Mahasisawa Roket dan Mahasiswa Amanah Malaysia.