Tindakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) mengeluarkan Surat Hasrat (LOI) supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Widad Business Group Sdn Bhd (WIDAD) membina sebuah loji penjana kuasa baharu bernilai RM9.5 bilion terus menimbulkan tanda soal.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung menimbulkan persoalan mengapakah TNB sebagai syarikat utiliti terbesar di Malaysia perlu memberikan 40% kepentingan kepada WIDAD dalam projek itu biar pun syarikat gergasi berkenaan boleh membinanya sendiri.
Setelah dua hari, kata Chean Chung, sama ada pihak kementerian mahupun TNB tidak langsung memberi maklum balas mengenai isu tersebut.
“Mantan Menteri KETSA dari Pas Takiyuddin Hassan dan Pengerusi TNB Umno Hasan Arifin diam membisu sehingga hari ini. Menteri dan pimpinan BN-PN akan terus membisu sekiranya rakyat tidak mendesak mereka untuk tampil menjawab.
“Maka hari ini saya terus mempersoalkan sama ada projek usahasama ini memenuhi kriteria ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek mega seperti itu, kata penyandang DUN Semambu berkenaan memerlukan tender terbuka bagi memilih syarikat yang benar benar layak.
Lebih menimbulkan persoalan, kata Chean Chung, projek tersebut dianugerahkan selepas Parlimen dibubar dan Menteri hanyalah sebagai caretaker.
“Adakah projek ini melalui proses tender terbuka? Pengumuman TNB hanya memetik aspek “menyokong Aspirasi Karbon Rendah 2040 kerajaan di bawah Dasar Tenaga Negara dan komitmen kerajaan untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050” dan tidak menyentuh tentang proses tender.
“Amat luar biasa KETSA membuat keputusan mengeluarkan LOI sembilan tahun sebelum pengoperasian loji tersebut, satu jangka masa yang panjang. Keputusan juga dibuat selepas parlimen bubar dan kurang sebulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. Adakah ianya mempunyai udang di sebalik batu?
“Saya tidak mempunyai masalah menyokong agenda mengurangkan perlepasan karbon di bawah agenda alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang pastinya amat penting dalam menangani perubahan iklim dan pemanasan global.
“Cuma dalam usaha mengejar E (Environment atau alam sekitar), adakah G iaitu Governance atau urus tadbir telah diabaikan sehingga menimbulkan keraguan rakyat dan pelbagai pihak,” katanya.
Chean Chung mendakwa kali terakhir projek yang mirip projek mega berkenaan adalah pembinaan loji kuasa 2,000MW oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2014.
Katanya, sebagai pimpinan kanan dalam BN-PN, Takiyuddin dan Hasan Arifin wajib tampil menjawab supaya nama parti mereka terpelihara.