Kekalahan BN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 di kerusi kerusi parlimen kawasan bandar perlu diteliti oleh rakyat.
Penyandang kerusi Parlimen Kangar, Amin Ahmad berkata punca pengundi di bandar menolak BN adalah kerana gabungan itu tidak berjaya mewujudkan suasana ekonomi yang baik di bandar bandar seluruh Malaysia.
“BN dok cakap pasal kemakmuran. Tetapi di bandar, BN mula kalah sejak 2008. Kenapa? Sebab orang bandar ni aktiviti mereka ekonomi. Mereka sensitif sama ada ekonomi kita tengah elok atau buruk.
“Sebab itu bila orang luar bandar dia pindah sana, maka dia mengalami miskin bandar.
“Ramai yang mula menyedari bila bayar cukai hak dia sebagai warganegara. Ke mana pemimpin belanjakan wang.
“Mungkin dia bayar sikit saja, RM1,000 atau RM2,000 setahun. Jadi ke mana pemimpin belanjakan sumber itu,” katanya dalam Jelajah Mega HARAPAN 2022 negeri Perlis, malam tadi.
Oleh itu, kata Amin, BN ketika ini terpaksa menumpukan kepada kerusi di luar bandar yang mana pengundinya mungkin tidak terdedah kepada maklumat.
Namun katanya, pada era teknologi maklumat, masyarakat luar bandar pun telah terdedah kepada pelbagai sumber dan boleh membandingkan prestasi BN
“Umno kini bergantung kepada luar bandar. Dia ingat orang luar bandar macam zaman dulu tak ada maklumat
“Bergantung kepada tv. Dia lupa zaman dah berubah, orang luar bandar pun ada alternatif. Banyak sumber, ada anak anak yang dah besar, berkerjaya. Ini kita harapkan mesej perubahan dapat disebarkan. Kita 2018 menang Kangar, kita menang pula di Padang Besar dan Arau kali ini.
“Nak menang kena buat kerja. Saya harap dalam kempen 3 minggu ini, ada kawan kawan, adik beradik, kita kena bercakap pasal apa perlu perubahan,” katanya.
Selain itu, Amin juga terkejut dengan hakikat sebenar ekonomi Perlis.
Katanya, sebelum ini menteri BN kata ekonomi negeri baik. Namun apabila beliau mula menjadi Ahli Parlimen dan mendapatkan data ekonomi terbaharu, terbukti sudah beberapa tahun pelaburan asing tidak masuk ke Perlis.
“Saya terkejut lihat data negeri Perlis. BN kata ekonomi hebat dan sebagainya. Sebenarnya negeri Perlis sudah bertahun tak ada pelaburan asing. Kosong.
“Sebab itu tak ada peluang pekerjaan. Hospital Padang Besar (mahu dibina) dah umum sejak RMK 9, la ni dah RMK 12. Boleh pecah tanah berapa kali, di mana hospitalnya? Sama dengan projek Lembah Chuping yang Najib pernah kata menjana 12,000 peluang pekerjaan, di mana?
“Apa maksud dia main (ulang) manifesto PH bukan kita suci. Masa hang pa berkuasa, duit ada tetapi kenapa tak boleh buat juga,” katanya.