Penurunan nilai ringgit menyebabkan harga barang terlalu mahal di Malaysia sehingga rakyat di sebelah utara Semenanjung terpaksa ke Thailand untuk membeli barang keperluan.
Hal itu didedahkan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam ceramah Jelajah Mega HARAPAN 2022 negeri Perlis, malam tadi.
“Kalau hari cuti kereta panjang dari sempadan sampai ke Changlun, begitu juga di Wang Kelian, Padang Besar kerana orang ramai pergi di seberang sana. Ke Hadnyai, Setoi untuk pergi makan makan bawa keluarga.
“Kalau di Tambak Johor ribuan rakyat tiap pagi lintas Tambak untuk kerja di Singapura. Di sini pula orang pergi berbelanja. Orang tak berebut sangat ke Langkawi sekarang kerana masalah harga makanan dibandingkan dengan seberang sana (Thailand)
“Tiga bulan lepas saya pergi Setoi (Satun). Kita pergi pasar makan laksa. Laksa daun dekat 15 jenis. Tanya nak bayar laksa sepinggan 15 kok. 15 kok lebih kurang RM1.70. Patah balik mai Perlis sepinggan RM5. Pasai apa?
“Hang pa tak rasa jeles ke?” tanyanya.
Penyandang kerusi Parlimen Kota Raja itu berasa hairan kerana harga minyak dan minyak masak di Thailand sangat tinggi tetapi bagaimana makanannya berharga murah.
“Patutnya saya yang biasa jadi menteri rasa segan. Minyak petrol, diesel di Thailand jauh lebih mahal dari Malaysia hampir 2 kali ganda. Minyak masak juga mahal.
“Makanan murah. Pelik ke tak? Saya pelik. Lalau di KL kita ada RM50 dalam poket masuk kedai mamak beli lauk sotong satu, udang satu, bendi dua. Kira kira RM31.
“Masalah harga barang di negara kita terlalu tinggi dibanding dengan pendapatan,” katanya.
Oleh itu, kata Mat Sabu, sekiranya ketirisan RM60 bilion setahun boleh diatasi maka banyak dana boleh dijimatkan dan memberi peruntukan pembangunan atau subsidi kepada rakyat.
“Kita tengok Pulau Pinang, Kerajaan Negeri boleh buat lebuh raya dari bandar Tanjung ke Balik Pulau, Kerajaan Negeri buat. Pasai dia ada duit, tak tiris.
“Selangor macam macam dapat. Sampai aku tak dapat nak habaq. Banyak skim itu ini. Sebab duit banyak digunakan untuk kebahagian rakyat semua.
“Sebab itu kalau boleh mengandung di sini, pi beranak di Selangor. Biar anak ambik IC Selangor,” katanya lagi.
Oleh itu Mat Sabu menegaskan, pilihan rakyat kali ini terhad kepada Pakatan Harapan dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri. Hanya dengan cara itu, katanya, negara boleh dipulihkan dan kembali makmur seperti dua dekad lalu.