Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan polisi berjimat cermat yang ekstrem sekiranya terpilih sebagai kerajaan selepas 19 November ini.
Hal itu diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah di majlis pengumuman calon di Taman Kosas, Ampang, malam tadi.
Katanya, sekiranya beliau diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) ke 10 maka beliau tidak akan mengambil gaji sebagai PM.
“Saya umumkan, InshaAllah (jika) saya jadi PM saya mula dengan tak usah ambil gaji PM. Elaun parlimen cukup, tak payah ambil gaji PM.
“Menteri jumlahnya akan jauh lebih kecil dan jumlahnya turun banyak.
“Memang betul itu (penjimatan) tidak besar tetapi pemimpin kena jadi contoh. Kalau pemimpin (seperti amalan waktu ini), bila saya jadi Menteri, menantu punya syarikat naik. Jadi kita kena beri contoh itu, ada kemungkinan kita buat perubahan.
“Bukan baju batik atau baju Melayu atau songkok tinggi, serban (yang tentukan kewibawaan), tetapi elaun besar sapu juga. Menteri paling banyak di dunia. Duta khas lagi, penasihat ekonomi lagi.
“Kot nak rasa malu, aku ni bercakap soal berjuang, Allahuakbar, Ketuanan Melayu. Kot la nak rasa malu aku ambil gaji buta. Jawabnya tak ada.
“Jadi jawabnya buang saja,” katanya.
Bagi yang dipilih sebagai calon, Anwar berkata, tanggungjawab yang digalas mereka berat dan perlu bekerja kuat untuk menang dan membela rakyat keluar daripada penindasan kezaliman BN – PN.
“Ada yang anggap bila jadi calon semua disediakan, wang ringgit disediakan, ini bukan Umno atau Bersatu. Jadi parti rakyat dari jalanan. Yang tak dapat apa apa.
“Tetapi semangat dan daya juang kita boleh merobah peta politik negara ini.
“Tanggungjawab ini bukan keistimewaan. Tabik hormat kepada pimpinan Cabang dan Ranting yang telah bekerja selama puluhan tahun. Kalau mereka tersinggung mohon maaf kepada mereka. Tarik perhatian mereka. Guna jentera yang ada, kalau tambah boleh tetapi jangan guna jentera luar, nanti tersinggung mereka,” katanya.
Anwar juga mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) yang bertungkus lumus dalam proses pemilihan calon.
Beliau berharap usaha keras JPRP akan membuahkan hasil dengan kemenangan gilang gemilang KEADILAN pada 19 November ini.
“Saya ucap terima kasih kepada pasukan JPRP. Kita lalui banyak pilihan raya, saya nak bagi tahu, persiapan JPRP untuk pilihan raya 2022 adalah terbaik dalam sejarah KEADILAN.
“Sekarang ini nak terjemah kemenangan. Semua trend ke arah itu. Kita boleh. Saya yakin kalau rakyat sedar dan punyai tekad, inshaAllah pada 20 November kita tubuh kerajaan yang menempah satu sejarah baru di Malaysia,” katanya lagi.