Dua kerusi parlimen yang paling panas di Selangor, Gombak dan Ampang akan digempur oleh dua tokoh penting peringkat negeri.
Berdasarkan pengumuman malam tadi, KEADILAN meletakkan Ketua Cabang Gombak Datuk Seri Amirudin Shari berhadapan penyandang kerusi Gombak, Azmin Ali. Sementara di Ampang, Penyelaras Parlimen Rodziah Ismail akan diberi tanggungjawab berat menentang penyandang Zuraida Kamaruddin.
Bagi Ahli Dewan Negeri Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, pertembungan dua jeneral utama politik Selangor itu amat diharapkan demi mengembalikan dua kerusi berkenaan ke pangkuan KEADILAN bersesuian dengan kehendak rakyat di kedua dua kawasan.
“Ini satu keputusan yang tepat dilakukan oleh parti. Iaitu meletakkan jeneral lelaki dan jeneral wanita dalam KEADILAN. Di sini juga dia boleh menenggelamkan pengkhianatan besar, satu Azmin Ali dan satu lagi Zuraida.
“Kembar dua ini boleh ditumbangkang oleh dua jeneral besar itu,” katanya kepada Suara Keadilan selepas pengumuman calon malam tadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George pula berkata, pengumuman calon malam tadi yang dihadiri sekitar 10,000 orang dan disaksikan secara langsung oleh lebih 25,000 penonton menunjukkan KEADILAN mempunyai sokongan besar dan mampu untuk menghadapi apa sahaja cabaran.
“Pimpinan telah memilih calon berwibawa. Ini menunjukkan kita bersedia bertembung sesiapa pun.
“Kita juga tampilkan parti MIRA, iaitu aktivis dari Hindraf dahulu yang telah mulakan satu parti sendiri. Mereka hari ini mengumumkan MIRA bersedia bergabung dengan PH,” katanya.
Pimpinan MIRA yang bersama PH pada malam tadi berharap Datuk Seri Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke 10.
Beliau berkata, Anwar yang banyak dikelilingi masyarakat India dan memahami masalah masyarakat itu diharap akan memberi harapan yang lebih cerah dalam memastikan nasib generasi India lebih selesa di negara ini.